Monday, March 21, 2011

Perjumpaan Rakan Online FB dengan PM Najib

Perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak pada hari Sabtu, 19/03/2011 adalah detik yang tidak dilupakan. Bukannya mudah untuk rakyat biasa seperti saya menghadiri jamuan khas bersama PM di Kuching. Khas untuk rakan-rakan online Facebook dan Twitter beliau di Sarawak. Majlis ini juga tanpa dihadiri oleh mana-mana pun pemimpin VVIP dari Sarawak...:)


Ketibaan PM Najib ketika masih berada di atas pentas untuk sesi bergambar.


Sebenarnya, saya telah mendaftar dalam blog 1Malaysia untuk program 'Mari Berjumpa Mari Berhubung' ini kira-kira sebulan yang lepas. Saya telah menerima email dan panggilan telefon daripada pihak seketeriat program untuk pengesahan menghadiri majlis ini 2 minggu sebelum majlis bermula.

Sedang menyampaikan ucapan.

Kira-kira 250 rakan online dari seluruh Sarawak telah menghadiri majlis yang diadakan di Dewan Santapan, Bangunan DUN lama. Selepas mengadakan dua sesi yang sama di kediaman rasminya di Seri Perdana, Putrajaya dan ini adalah yang pertama kali dijalankan di luar kawasan Putrajaya.

Menikmati jamuan sarapan dengan rakan online beliau.

Di dalam ucapannya, beliau meminta golongan muda supaya memberikan sokongan dan kepercayaan kepada beliau sebagai Perdana Menteri bagi membawa masa depan yang lebih baik untuk Sarawak. Najib yang kini mempunyai 590,000 peminat dalam Facebook dan lebih 90,000 dalam Twitter, berkata ia semakin bertambah penting bagi beliau dan pemimpin yang lain dalam pentadbirannya untuk berinteraksi secara bermakna dengan setiap rakyat Malaysia.

Selain itu, beliau juga menggesa pemimpin lain supaya mencari pengguna internet dan laman sosial yang lain di mana bilangan rakyat atau orang ramai yang didapati semakin bertambah untuk melibatkan mereka dalam dialog.

Bersalaman ketika beredar dari majlis.

"Jika anda tidak boleh menemui saya, saya akan pergi kepada anda. Saya akan cuba dan bertemu dengan seberapa ramai rakan-rakan online apabila saya melawat seluruh Malaysia", katanya sambil berharap setiap seorang rakan online yang dijemput beliau akan menyokong dan mengamalkan prinsip 1 Malaysia.

Beliau menyifatkan perjumpaan ini sebagai satu daripada cara untuk berhubung dengan rakyat melalui cara yang baru dan inovatif sejak mengambilalih kepimpinan kerajaan. "Saya juga berinteraksi dengan tetap dalam Twitter, jadi jika anda tertanya-tanya, ya, memang saya yang sebenarnya membalas Tweet anda. Saya lakukan pada sebelah pagi sebelum pergi kerja, dan antara temu janji dan selepas bekerja sebelum saya tidur." katanya.

Bergambar dengan wartawan terkenal dari TV3..rancangan apa yer?..hehe

Sementara kerajaan menghadapi pelbagai cabaran dalam membawa Sarawak setanding dengan Semenanjung, beliau berkata negeri ini mencapai kadar tertinggi dalam pembangunan sejak dua tahun kebelakangan ini.

"Sarawak bukan sebuah negeri yang kecil. Saya ingat Pahang ialah sebuah negeri yang besar tapi bagi orang di sini 60km adalah satu jarak yang dekat tidak seperti di Perlis apabila jarak yang sama sudah pasti ia sudah berada di negeri lain," katanya.

Antara cenderahati untuk rakan-rakan online beliau.

Najib berkata, bagi melaksanakan demokrasi dengan penyertaan rakyat, kerajaan amat komited bagi membawa perubahan bagi mengambarkan aspirasi rakyat. Berbanding dengan negara seperti Mesir dan Libya, di mana hak demokrasi adalah satu isu yang sangat penting, beliau berkata rakyat Malaysia adalah berbeza kerana ia telah membuktikan bahawa sistem demokrasi itu digambarkan melalui peti undi.

Keratan akhbar The Sunday Post mengenai perjumpaan tersebut. Kelihatan saya jelas berdiri belakang di atas pentas.

Selepas ucapan beliau, terdapat sesi soalan dari 4 orang rakan online beliau yang dapat mengajukan soalan. Perjumpaan berakhir dalam tempoh 1 jam disebabkan beliau mempunyai jadual yang padat sepanjang lawatan sehari di Kuching. Terima kasih kepada Datuk Seri atas undangan tersebut. Tidak lupa juga dengan cenderahati eksklusif dari pihak Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya..:))

No comments:

Post a Comment