Wednesday, May 26, 2010

Gelak - Ketawa

Hidup kita memang selalu dipenuhi dengan gurau senda dengan orang di sekeliling, biasanya kawan-kawan. Mana ada orang yang bergurau dengan dirinya sendiri. Maknanya, apabila kita bergurau senda, secara tidak langsung ia akan melibatkan perasaan orang lain yang mendengar gurauan kita.

Biasanya, orang bergurau untuk menceriakan suasana. Takkan nak buat muka serius sepanjang masa. Macam kebayakan orang mengatakan, " Hidup mesti ceria"....

Tetapi, mari kita teliti, apa yang selalu ada dalam sebuah gurauan? lawak yang direka-reka, cerita yang dibuat-buat, perli memerli, 'anok- menganok' (dialek bahasa melayu sarawak) dan kata mengata antara satu sama lain. Itu antara yang biasa kita temui. jarang sekali orang bergurau tetapi dalam masa yang sama dia tidak menipu. Tidak sah jika bergurau, dia tidak mengata-ngata (secara bergurau) pada orang lain.

Kebanyakan kita menganggap gurauan adalah perkara biasa. Ada juga yang menyangka menipu dibolehkan ketika bergurau sebab tidak membahayakan orang di sekeliling kita. Saya juga pernah menganggap begitu kerana merasakan apa yang kita guraukan hanya mainan semata-mata, bukan betul-betul dan bukan niat untuk betul-betul berbohong.

Betulkah persepsi seperti ini? Banyak Ketawa Mematikan Hati.

Pernahkah kita lihat orang ketawa terbahak-bahak, sehingga ketawanya hendak pecah-perut dan sampai tidak cukup udara nak bernafas? Apa yang kita fikir? Pastinya orang itu baru saja melihat atau dengar satu jenaka atau gurauan yang sangat menggelikan hati.

Kita akan ketawa apabila ada sesuatu yang menggelikan hati. ya, itu memang sesuautu yang normal. tapi, hakikatnya . di situlah akan timbulnya masalah. Gurauan yang melampau-lampau akan menyebabkan kita banyak ketawa.

Kita dibolehkan bergurau senda tetapi jangan berlebih-lebihan. Kenapa? Kerana ia akan mengundang banyak ketawa. Dan banyak ketawa akan mematikan hati. Dan mungkin akan menjatuhkan maruah diri.

Sunday, May 23, 2010

INTER MILAN JUARA!!!!



Awal pagi tadi, saya sempat menyaksikan final Champions League. Pada kebiasaannya, final CL akan diadakan pada pertengahan minggu. Satu kemenangan yang amat bermakna buat Jose Mourinho. Treble untuk Inter Milan. Selepas kejuaraan Liga dan piala domestik di Italy. Begitu juga dengan pasukan Bayern Munich seandainya mereka pula yang menang perlawanan pagi tadi.


Dua jaringan oleh Milito pada minit ke 35 dan 70 adalah detik cemerlang bagi Inter. Kedua gol yang digerakkan dari kawasan tengah padang. Memang amat unik sekali terutama gol yang kedua. Inter sebenar bermain secara defensive game. Hanya sekali sekala bergerak untuk menyerang. Memang sudah menjadi kebiasaaan bagi mana-mana pasukan dari Italy.


Jose Mourinho dikhabarkan akan mengemudi Real Madrid untuk musim yang baru. Beliau merancang untuk memenangi CL dengan pasukan yang ketiga selepas Porto dan Inter. Tahniah dan selamat maju jaya untuk beliau.!!!

Thursday, May 20, 2010

Kembalinya Sarawak Tribune

Perasmian kelmarin oleh Ketua Menteri Sarawak



Hari ini, terbitnya kembali suratkhabar tertua di Sarawak iaitu New Sarawak Tribune. Semalam, ia telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak. Saya hanya kesempatan membaca mengenainya dari sebuah suratkhabar tempatan juga. Semasa bersiar-siar sekejap di tingkat 2 ketika lunch tadi, belum nampak lagi penjualannya di kedai suratkhabar. Difahamkan juga, ia adalah syarikat sama yang menerbitkan suratkhabar Eastern Times sebelum ini.



Sarawak Tribune sememang nya adalah suratkhabar kegemaran saya. Ia adalah langganan keluarga sejak saya masih kecil lagi. Tribune telah diterbitkan sejak 1945. Tetapi pada Feb 2006, penerbitannya telah diberhentikan berikutan kontroversi tayangan semula karikator berkenaan Nabi Muhammad S.A.W. Satu pengajaran yang amat berguna kepada mana-mana pihak penerbitan lain supaya tidak menimbulkan isu-isu kontroversi yang berkaitan dengan keagamaan.



Diharap penerbitan semula New Sarawak Tribune pasti akan dapat menyumbangkan kepada kemajuan dan pembangunan negeri Sarawak amnya. TAHNIAH dan selamat maju jaya!!

Friday, May 14, 2010

Usah kecewa....!!!




Sudah hampir 5 hari saya tidak meng'update'kan blog ini. Mungkin idea saya tidak timbul atau mood tidak ke arah tersebut. Tetapi pada malam ini, saya ingin berbicara tentang kejohanan Piala Thomas, sebuah kejohanan utama badminton peringkat antarabangsa bagi berpasukan lelaki. Baru sebentar tadi, pasukan negara telah tewas dalam semi final Piala Thomas oleh jaguh Asia dan juara bertahan, China. Selaku tuan rumah untuk kejohanan tersebut, memang amat mengecewakan.


Mungkinkah pasukan negara akan menunggu 25 tahun lagi untuk memenangi kejohanan tersebut? Kali terakhir pasukan negara memenangi Piala Thomas pada tahun 1992. Dan sebelum itu, kita hanya memenanginya pada tahun 1967. Sememangnya, sebelum kejohanan bermula, banyak desas desus yang menyelebungi BAM iaitu persatuan badminton negara. Diharap pada masa akan datang tiada lagi isu politik dalaman persatuan demi kebaikan pemain dan sukan badminton negara. Saya pun malas nak bercerita panjang lebar tentang permasalahan tersebut.



Kalau nak dibandingkan dengan pemain China sebentar tadi, pemain negara sebenar nya kekurangan dari segi emosi dan mental. Dalam permainan tersebut, di samping taktikal, ketahanan mental dan emosi juga amat penting. Lebih-lebih lagi, kepada pasukan negara. Saya sudah membayangkan sekiranya Lee Chong Wei tewas pada game pertama dengan Lin Dan maka punah lah harapan negara untuk ke final buat julung kalinya sejak tahun 2002. Mungkin kita cuba dan terus cuba lagi dalam tempoh 2 tahun akan datang. Apa pun, persiapkan pasukan negara untuk kejohanan berpasukan Sukan Asia dan Sukan Komanwel pula......

Monday, May 10, 2010

Tahniah The Blues!!

"Groin injury" pada perlawanan malam tadi.



Chelsea akhirnya ditabalkan sebagai juara EPL untuk musim ke 2009/2010. Sebagai seorang peminat setia MU, saya begitu kecewa. Walau pun menang 4-0 ke atas Stoke City mlm tadi, tetapi kemenangan bergaya Chelsea ke atas Wigan 8-0 meleburkan harapan MU. Sememang nya, sebelum perlawanan malam tadi, MU bnyk keciciran points dari beberapa games. Tidak boleh hanya disalahkan dengan penentuan hari terakhir liga sahaja.



Di halaman wall Facebook saya, penyokong Chelsea dan kebanyakan hanyalah anti MU bergembira dengan kemenangan Chelsea. Sebahagian besar juga fans MU hanya berdiam diri sahaja. Itulah hakikat nya. KEKECEWAAN!!..saya juga bnyk menerima sms dari kengkawan MU yang meluahkan 'frust' mereka atas kegagalan MU..



Tahniah juga kepada Sir Alex Ferguson, kerana berjaya membentuk kesinambungan skuad yang kukuh untuk musim depan. MU pasti akan kembali untuk merampas kejuaraan liga...BELIEVE!!




Sunday, May 9, 2010

Penentuan Kejuaraan EPL


Malam ini adalah penentuan kejuaraan takhta English Premier League (EPL). Seperti yang sedia maklum, MU akan melayan kunjungan Stoke City, sementara Chelsea akan menentang Wigan di gelanggang sendiri. Kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dengan satu mata. Chelsea hanya perlukan kemenangan untuk kejuaraan tanpa menunggu keputusan dari Old Trafford. Sementara, MU berharap ihsan daripada Wigan untuk mengelak daripada kekalahan. Sebagai seorang peminat setia MU, semestinya saya berharap MU akan menang dan Chelsea tidak mencapai kemenangan. Saya tidak mahu untuk berceletoh panjang lebar. Hanya menanti perlawanan yang hebat pada malam nanti. Adios amigos!!!






Saturday, May 8, 2010

Cakap-cakap Pilihanraya

Pilihanraya kecil Parlimen Sibu rancak diperkatakan ketika ini. Hari ini adalah hari penamaan calon dan hari pengundian dijangka akan berlangsung pada 16 Mei nanti. Semua pasti akan tertumpu di bandar kedua terbesar di Sarawak tersebut sehinggalah keputusan diumumkan nanti. Pilihanraya dijalankan semula berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan dan anggota Parlimen Sibu 5 penggal iaitu Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April yang lepas.


Selain di negara kita, di Britain juga berlangsung pengiraan undi untuk pilihanraya yang dikatakan paling sengit dalam sejarah. Mampukah Perdana Menteri Britain, Gordon Brown terus duduk lama di Nombor 10, Downing Street, London? Hanya masa yang menentukan nanti. Di negara jiran kita, Thailand juga dijangka akan berlangsung pilihanraya pada bulan November. Perdana Menteri, Abhisit akan membubarkan Parlimen Thailand pada pertengahan bulan September dalam usaha beliau untuk menamatkan krisis dan penunjuk perasaan.


Saya memang meminati isu semasa politik di dalam maupun luar negara. Banyak info diperolehi dari pembacaan di suratkhabar, internet maupun dari siaran tv. Tapi, saya tidak akan menceritakan hal ehwal politik di sini. Takut nanti disalah tafsirkan oleh pihak tertentu. Biarlah hanya bualan di kedai kopi saja..:). Sebagai penjawat awam, saya akan berdiam diri saja dari berbicara lebih terbuka.


Apa yang ingin saya kongsikan bersama adalah berkaitan dengan Pilihanraya. Di negara kita, Pilihanraya Umum dijalankan 5 tahun sekali untuk memilih wakil rakyat di Parlimen maupun di DUN negeri masing-masing. Di seluruh negeri, pilihanraya Parlimen dan DUN dijalankan serentak kecuali di negeri Sarawak. Itulah keistimewaan negeri Sarawak. Tempoh DUN akan tamat pada tahun depan. Dan kita akan tunggu bila agaknya pilihanraya akan dijalankan.



Sebagai seorang rakyat Malaysia, sudah menjadi kewajipan kita untuk menjadi pemilih sekiranya telah mencapai umur 21 tahun. Saya telah berkesempatan untuk menjadi pengundi pada pilihanraya DUN Sarawak tahun 2001 (DUN Satok) dan Parlimen pada 2004 (Parlimen Petra Jaya). Masih teringat lagi ketika tahun 2001, kerani pengundian masih tertanya status saya ketika sudah masuk bilik pengundian. Pada masa itu, saya masih lagi menggunakan kad pengenalan lama yang mempunyai photo ketika umur 12 tahun. Ditambah lagi dengan wajah yang kebudak-budakan juga. Tapi, buktinya nama saya ada dalam list pemilih. Dan akhirnya, saya berjaya juga menunaikan kewajipan untuk julung kalinya..:)



Walaupun begitu, saya tidak berkesempatan untuk menjadi pemilih pada pilihanraya DUN 2006 dan Parlimen 2008. Apa yang ingin saya kongsikan bersama adalah tugasan saya ketika dua pilihanraya tersebut. Ketika saya berkhidmat Di Marudi, saya terpilih untuk menjadi Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk kedua-dua pilihanraya.



DUN MARUDI 2006


Bersama dengan anggota polis yang menjadi pengawal dan abg Pauzi Brahim (baju kuning)



Inilah kali pertama saya ditugaskan untuk menjadi KTM bersama dengan Kerani Pengundian, abg Pauzi dan Rahmat. Ketika itu, kami ditemani oleh 3 orang anggota polis sebagai pengawal. Perjalanan yang mengambil masa selama 3 jam menggunakan bot dan satu jam menggunakan jalan darat (4 wheel pick up) ke destinasi. Saya sudah terlupa nama lokasi tempat tersebut. Kami bermalam di tempat pengundian, blok kelas bangunan ditemani oleh rengit dan nyamuk.




Kunci Peti Undi sambil diperhatikan oleh Ajen-ajen dari Parti yang bertanding.




Menandatangani borang penjumlahan pengundi


Proses pengundian hanya berlangsung selama 3 jam dari pukul 8 sehingga 11 pagi. Kami bergegas balik ke pekan Marudi untuk proses pengiraan undi di Dewan Suarah Marudi. Tugasan pertama yang berjaya dilaksanakan...:)





Parlimen Baram 2008


8 Mac 2008 adalah tarikh Pilihanraya Umum ke 12 di seluruh negara. Kali ini, saya terpilih untuk menjalankan tugasan di Long Peluan. Iaitu di rumah panjang dan kampung tempat kelahiran Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Ose Murang. Perjalanan dari Marudi ke Long Akah menggunakan pesawat ringan Hornbill Skyways dan helikopter ke Long Peluan. Kali ini, saya bersama 2 orang Kerani Pengundiandan seorang anggota polis. Kami bermalam di airstrip Long Akah sebelum bertolak seterusnya ke destinasi pengundian masing-masing. Perjalanan menggunakan helikopter amat menyeronokkan. Dengan destinasi yang dituju ditentukan hanya menggunakan GPRS dari kokpit.


Helikopter yang digunakan untuk ke Long Peluan


Di airport Long Akah, lokasi persinggahan satu malam


Bersama 2 orang kerani pengundian yang berkaliber, Rahmat dan Cikgu Rizal :)




Ketua Tempat Mengundi.




Kami berempat menetap di rumah panjang utama tersebut. Dan berkesempatan juga melihat foto-foto lama Datu Ose Murang. Layanan yang diberikan cukup istimewa dari Ketua Kampung dan penduduk tempatan. Tidak lupa juga pada sebelah petang nya, kami mandi manda di sungai yang begitu jernih airnya.


Pada keesokan harinya, hari yang ditunggu-tunggu tiba. Proses pengundian hanya berjalan selama 1 jam sahaja. Terdapat juga sebilangan kaum penan dari Long Beruang yang datang mengundi. Saya bergegas balik menunggu helikopter dan bersiap sedia untuk membawa peti undi balik untuk penjumlahan undi. Semua KTM berkumpul di Long Akah semula dan menunggu pesawat untukke Marudi. Sementara 3 yang lain hanya balik pada sebelah petang nya menggunakan helikopter direct ke Marudi.


Sememang nya, kita sedia maklum hari Tsunami politik negara pada 8/3/2008. Apapun, pengalaman berharga bagi saya. Memang tidak dapat saya lupakan, kenangan bertugas ketika dua pilihanraya. Walaupun amat memenatkan tapi tugasan untuk negara pasti diutamakan. Mungkin pada pilihanraya akan datang, saya hanya akan menjadi pemilih dan berkongsi cerita pula dengan rakan-rakan lama di Marudi yang pasti akan bertugas lagi sewaktu proses pengundian..:)




Wednesday, May 5, 2010

Hukum Tarikan – The Law Of Attraction

“Yesterday is history,tomorrow is a mystery.And today? Today is a gift.That's why we call it present”..

Apa yang kita fikirkan hari ini akan menentukan apa yang akan terjadi pada masa hadapan. Jika kita mahukan masa hadapan yang cemerlang, kita perlu berfikir dan mencipta keinginan ke arah kecemerlangan itu! Inilah yang dikenali sebagai Hukum Tarikan atau The Law Of Attraction

Bila kita mengimpikan sesuatu dan sentiasa memikirkannya di dalam minda, berdoa sepanjang masa, bersolat hajat, selebihnya kita bertawakkal, dan ianya tercapai. Jawapannya ialah Quran, melalui Quran, kuasa tarikan yang terhasil diselarikan dengan petunjuk Allah S.W.T.

Dengan perkataan lain, ketika kita memikirkan sesuatu kita sedang menarik sesuatu kearah diri kita. Maka rupanya yang kita lalui adalah Hukum Tarikan. Hukum Tarikan memberi tindak balas pada segala perkara yang kita pancarkan dengan menghasilkan getaran (fikiran dan perasaan) yang lebih banyak, samada positif mahupun negetif. Hukum itu hanya bertindak balas dengan getaran kita.

Tenaga getaran yang dihasilkan melalui emosi akan memberikan kesan tarikan pada keadaan persekitaran. Maka sebab itulah kita mesti sentiasa berfikiran positif dalam apa jua dugaan yang datang , ujian yang diterima dalam hidup dan kehidupan. Kerana ia mempengaruhi sebahagian kehidupan kita.

Hukum Tarikan memang bekerja dalam kehidupan kita. Ia benar-benar wujud dan kita dapat rasa dengan setiap hembusan nafas kita. Cuma kita kurang bertindak balas ataupun tidak menyedari kewujudannya.

Terdapat banyk versi buku Hukum Tarikan di pasaran. Antara yang terbaik adalah Quranic- Law Of Attraction- versi Bahasa Melayu. Jangan ketinggalan untuk memilikinya.


Sekian..



Tuesday, May 4, 2010

Internet, Televisyen dan Buku


Di waktu tengahari yang terluang ini, saya ingin berbicara sebentar tentang pengaruh Internet, televisyen dan kesannya kepada pembacaan buku. Penggunaan yang meluas kedua-dua medium itu kini membentuk masyarakat yang bergantung sepenuhnya kepada Internet dan televisyen untuk mendapatkan maklumat sekali gus meminggirkan kandungan sesebuah buku. Selain itu juga, rangkaian channel televisyen yang begitu banyak pada masa kini juga antara faktornya. Berita dan sumber boleh diperolehi dengan mudah seperti dari dokumentari dan berita.

Berdasarkan kajian, budaya membaca buku di Malaysia agak rendah berbanding negara-negara luar khususnya penduduk di Eropah yang menjadikannya satu amalan.Mereka (penduduk Eropah) membaca buku di mana-mana sahaja walaupun masa terluang hanya 15 minit sedangkan negara mereka mempunyai kemudahan Internet yang baik Masalah kurang membaca buku bukan sahaja berlaku kepada golongan remaja, malah kepada golongan korporat dan golongan berpendidikan tinggi. Melayari Internet tanpa henti, contohnya seperti halaman sosial, mencari bahan carian yang lebih mudah diperolehi juga adalah antara faktornya.

Oleh itu, berusaha lah untuk membaca buku. Jangan hanya ketika pembelajaran di kelas saja kita membuka buku. 'Membaca itu jambatan ilmu'..:)...

Monday, May 3, 2010

Counselling Sessions by Our 2 Trainee from UNIMAS

Angela Ngu Sing Ling and Lee Ming Ming..TQ very much!!


The sessions consist of TEAMWORK AND MOTIVATION, CONFLICT MANAGEMENT, POWER OF COMMUNICATION, STRESS MANAGEMENT AND POSITIVE WORK ATTITUDES...

video

Kelebihan besar untuk Chelsea

Gerrard dengan kekecewaannya sendiri..


Perlawanan antara Liverpool dan Chelsea malam tadi adalah yang dinanti-nantikan peminat setia ketiga pasukan termasuk MU. Satu keputusan yang memihak kepada Chelsea, 2-0. Biarpun, bermain di tempat sendiri, silly mistake oleh Stevie Gerrard dengan membuat hantaran backpass kepada goalkeeper, Reina adalah pemusnah harapan MU. Dari mata kasar, seolah-olah Gerrard dengan sengaja untuk memberi bola kepada Drogba. Mungkin dari sudut beliau sendiri, saya rasa beliau tidak nampak atau Drogba terselindung di sebalik pemain pertahanan Liverpool yang lain. Itulah lumrah permainan bolasepak.

Apa yang saya perhatikan Liverpool tidak mempunyai pure striker seperti Torres yang direhatkan kerana kecederaan. Hanya pemain midfield yang banyak bergerak, tetapi ketumpulan penyudahan amat mengecewakan. Hanya percubaan Aquilani yang terkena palang tiang, yang lain hanyalah tersasar saja. Goalkeeper Cech boleh dikatakan banyak berehat. Pada separuh masa kedua, Lampard menambah lagi kekecewaan penyokong MU dengan mudah menyempurnakan hantaran daripada Malouda.

Perlawanan yang terakhir untuk Benitez di Anfield selepas desas desus mengaitkan beliau akan berpindah ke Juventus musim depan menjadi pengurus.



Gol yang cantik daripada Nani..


Selepas kemenangan Chelsea, saya banyak menerima sms drpd kwn2 MU dan komen2 drpd Facebook yang gembira dengan kemenangan Chelsea. Saya sempat melelapkan mata dan terjaga pada minit ke 25 perlawanan Sunderland dan MU. Nani berjaya menjaringkan gol pada 1st half. Sekali lagi Berbatov mempunyai bnyk peluang untuk menjaringkan gol. Tetapi begitu tumpul di depan gol. Rooney yang baru pulih dari kecederaan banyak merencanakan gerakan dan serangan untuk MU..

Apapun tahniah untuk MU..semangat juang tinggi.!! Jangan salahkan kekalahan Liverpool. Tapi haruslah redha dengan keciciran banyak points beberapa game yang lepas.

Sunday, May 2, 2010

Miri - Hari Tanpa Beg Plastik


Ketika bersarapan pagi tadi, saya mendengar berita radio mengenai 'Kempen Hari Tanpa Plastik Beg' di bandar raya Miri sejak semalam. Difahamkan program itu adalah usaha Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk membentuk budaya ‘hijau’ ataupun 3R, iaitu mengguna semula, mengurang dan mengitar semula di samping mempromosikan bandar raya Miri sempena Miri May Fest 2010.
Kempen tersebut dijangka akan mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records dan menjadikan Miri sebagai bandar raya pertama di Malaysia mengadakan kempen tidak menggunakan beg plastik setiap hari. Insya-allah, kalau ke Miri saya akan bawa plastik beg lama banyak-banyak..hehe :))..

Di mana aura nya AF8??

Oleh kerana games EPL hanya bermula jam 10 mlm, saya menonton konsert AF 8 untuk seketika. Kalau nak dibandingkan dengan konsert AF7 yang lepas, memang agak jauh beza nya. Walaupun diketuai oleh Norman KRU, tapi keberkesanan dan aura nya makin berkurang. Entah dimana silapnya. Diari AF pun langsung saya tidak ikutinya.

Antara lagu mlm tadi adalah fav saya, Ayat-Ayat Cinta yang didendangkan oleh Adira. Ermm..tidak dinafikan mereka masih dalam proses pembelajaran. Memang agak mendukacitakan. Selepas sahaja selesai persembahan lagu pertama tersebut, saya pun terus berubah channel..Apakah ini rancangan AKADEMI FANTASIA yang menjadi kegilaan ramai suatu ketika dulu???...tepuk dada tanya selera..

Saturday, May 1, 2010

Malam penuh debaran!!!










Rooney dan Rio Ferdinand..


Malam esok semestinya malam yang dinantikan oleh peminat setia EPL. Walaupun hanya tinggal baki 2 games, tetapi penentuan kejuaraan pasti berkisar kepada pasukan Liverpool. Andainya, team tersebut menang ataupun seri menentang Chelsea, kejuaraan akan berpihak kepada Manchester United. Terpulang lagi kepada MU untuk menang lawan Sunderland dalam game berikutnya selepas pertarungan di Anfield tamat.

Dalam tempoh seminggu ini, 90% status di Facebook saya berkaitan kepada pertarungan title EPL itu. Sebagai peminat setia MU, pastinya harapan supaya Liverpool dapat mengekang Chelsea daripada menang. Itu lah harapan saya. Liverpool baru saja dikecewakan oleh Atletico Madrid dlm semi final Piala Europa. Hanya tewas dengan kelebihan away goal dalam perlawanan 120 minit. Seperti juga dengan kekalahan MU beberapa minggu lepas dalam Champions League.

Dalam kedudukan liga, Liverpool amat memerlukan kemenangan untuk perebutan no 4. Tempat untuk kelayakan ke Champions League musim depan. Spurs, Aston Villa dan Man City juga bersaing hebat untuk kedudukan tersebut. Adalah tidak profesional jika dikatakan Liverpool akan memberikan kemenangan kepada Chelsea. Dan itulah juga kelebihan kepada MU. Satu pertarungan yang hebat di Anfield.

MU juga akan menerima kepulangan semula Rooney dan Rio Ferdinand untuk game vs Sunderland. Dalam game di Old Trafford bln 10 yang lepas, MU nyaris dikalahkan. Hanya bernasib baik dengan gol sendiri Sunderland pada minit-minit terakhir perlawanan. Semoga MU akan menang dan rekod kejuaraan ke 19 dan ke 4 berturut-turut akan dijelmakan..GLORY,GLORY MAN UNITED!!!

SOKAN JAYA MARUDI

Semasa Baram Regatta 2008, tugasan terakhir saya di Marudi.
Saya terbaca ruangan mengenai aktiviti sukan JKR Marudi di Utusan Sarawak hari ini. Daerah kecil seperti Marudi memang amat mudah untuk berita atau aktiviti dipaparkan. Almaklumlah pekan kecil. Wartawan pun amat mudah untuk kita rapat. Pernah sekali, gambar saya dipaparkan. Sayang sekali, keratan tersebut telah hilang dari simpanan.

Saya telah berkhidmat di sana dari pertengahan bulan Julai 2005 sehingga penghujung bulan Ogos 2008. Memang banyak kenangan dan memori di sana. Pembacaan saya tadi adalah berkait rapat dengan aktiviti sukan. Kalau di peringkat jabatan, ia dipanggil Kelab Sokanjaya. Baru-baru ini, Kelab Sokanjaya telah menganjurkan Pertandingan Badminton. Juara nya pun adalah bekas staff bawahan saya, Kassim Serah. Tahniah lah..:)

Difahamkan juga, Kelab Sokanjaya telah menerima geran kerajaan sebanyak RM10K (banyak tu) daripada ADUN Marudi, YB Sylvester Entri. Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada ex boss saya, Jurutera Daerah En Fadil bin Kawi. Walaupun hanya 8 bulan saya dibawah seliaan beliau, tetapi beliau begitu aktif dalam perkembangan sukan di peringkat jabatan dan daerah. Saya masih ingat lagi, tiap-tiap malam pasti ada aktiviti sukan..futsal, badminton, bola tampar. Itulah rutin seharian selepas waktu pejabat.

Saya pasti akan datang kembali ke Marudi....sebagai seorang tetamu...:)

BEGINNER


Assalamualaikum w.b.t..


Pertama sekali syukur ke hadrat Ilahi, kerana dengan limpah kurnia nya, dapatlah saya memulakan blog Journal saya sendiri. Mungkin lagi awal dan banyak kekosongan di awal pembabitan ini dan Insya-Allah, saya akan berkongsi dan membuat yang terbaik untuk blog saya ini..


Terima kasih...


1/05/2010..