Friday, March 11, 2011

Alasan Aznil kembali ke AF

Apakah dia mampu mengembalikan lagi prestij rancangan Akademi Fantasia (AF)?. Saya masih ingat kembali AF 1 pada tahun 2003. Ketika itu, saya bekerja shift di sebuah kilang semikonduktor. Jadi masa yang rehat yang terluang di rumah digunakan untuk menonton tv.

AF1 memang telah mencuit hati. Sebuah rancangan yang mula-mula mempolopori program realiti di negara kita. Selepas itu muncullah program-program realiti yang tumbuh bagaikan cendawan. Entah tak terkira lagi.

Yang menjadikan AF unik adalah pengacaranya. Aznil Hj Nawawi memang begitu berbakat dan gaya tersendirinya. Selepas mengacara AF1 sehingga AF5, beliau telah ditawarkan untuk mengendalikan AF yang terakhir sekali iaitu AF9..

Berikut adalah paparan Utusan Malaysia, 10/3/2011:-


LIMA tahun lalu, sewaktu pengacara nombor satu negara ini mengambil keputusan untuk menarik diri daripada mengacarakan program realiti popular, Akademi Fantasia (AF), ramai yang berat hati untuk menerimanya.

Mahu atau tidak, harus diakui, perjalanan AF yang mula diperkenalkan pada tahun 2003 itu sebenarnya banyak dihidupkan dengan keletah dan aksi spontan Aznil Nawawi sebagai pengacaranya.

Sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam bidang pengacaraan, sememangnya Aznil bijak menangani situasi di atas pentas sehingga mampu menyuntik emosi yang pelbagai kepada penonton.

Canda, tangis, ketawa dan duka merupakan rencah lengkap dalam AF setiap minggu sehingga ia menjadi satu tontonan wajib dan mencetus fenomena yang sangat luar biasa.

Lalu, apabila Aznil mengundurkan diri daripada AF selepas kali terakhir mengacarakan AF5 pada 2007, impak yang terhasil selepas itu tidak lagi menjadi sehebat seperti mana sewaktu Aznil mengemudinya.

Bukan mahu merendah-rendahkan kredibiliti Datuk AC Mizal, Sarimah Ibrahim dan Jimmy Shanley yang telah meneruskan legasi seni Aznil sebagai pengacara AF selepas itu.

Tetapi, sebahagian besar peminat dan pengikut setia AF nampaknya masih belum mampu memadamkan ingatan dan nostalgia mereka kepada Aznil.

"Saya sedar pasti akan mempertikaikan keputusan yang telah saya lakukan sebelum ini apabila tidak mahu lagi melibatkan diri dengan AF selepas tahun 2007.

"Malah, saya sudah bersedia untuk menerima sebarang kemungkinan kalau ada yang mengatakan saya ini tidak ubah seperti menjilat ludah sendiri.

"Namun, saya mempunyai justifikasi sendiri mengapa saya tidak teragak-agak untuk menerima tawaran Astro untuk kembali sebagai pengacara AF9," ujarnya dalam nada tenang ketika ditemui pada sidang akhbar yang berlangsung di Hotel Doubletree by Hilton, Kuala Lumpur, petang Isnin lalu.

Turut hadir, Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi dan Penerbit Eksekutif AF9, Irwan Abdul Rauf.

Tidak ketinggalan bekas pelajar AF seperti Akma, Farhan, Haziq, Nora, Diddy Hirdy, Azza, Rosma, Khai, Atie dan Anding termasuk tiga orang juara AF iaitu Zahid, Mawi, Hafiz dan Shahir.

Sebetulnya, pemilihan Aznil sebagai pengacara AF9 bukanlah satu kejutan kerana desas-desus mengenainya sudah tersebar luas sejak pengumuman tentang AF9 dibuat.

Malah, pihak Astro sendiri sudah memberi bayangan yang cukup jelas tentang pengacara yang akan menduduki kerusi panas itu sejak sidang akhbar pertama AF9 pada bulan Januari lalu.

Daripada situ, memang ia bukan lagi satu rahsia. Walaupun pernah diasak berkali-kali oleh pihak media berhubung kesahihan itu, namun, Aznil lebih selesa berdiam diri sehingga Astro mengumumkannya secara rasmi.

Menyingkap kembali tawaran Astro kepadanya berhubung posisi yang sering kali menjadi perbualan ramai setiap tahun itu, Aznil memberitahu semuanya berlaku ketika di Cannes, Perancis, tahun lalu.

Ketika itu, dia menghadiri pasaran televisyen di sana dan pada masa yang sama, beberapa wakil Astro yang mengikuti rombongan itu telah menawarkan peluang itu sekali lagi kepadanya.

"AF sebenarnya mempunyai nostalgia yang tersendiri buat saya dan terlalu banyak kenangan yang saya sendiri sukar untuk lupakan begitu sahaja.

"Seperkara lagi, apa yang membezakan AF dengan program realiti lain adalah nilai kasih sayang yang diterapkan dan elemen itu tidak pernah pudar sehingga kini. Itu membuatkan saya rasa dekat dengan program ini walaupun sudah tiga tahun tidak mengendalikannya.

"Saya juga sudah bersedia untuk menyahut kembali cabaran sebagai pengacara AF dan tiga tahun selepas meninggalkannya, memang saya harus akui pasti cabarannya bukan calang-calang kelak.

"Memandangkan musim ini merupakan AF yang terakhir, jadi saya fikir saya patut kembali mengacarakan program realiti ini yang sebenarnya juga telah meninggalkan kesan besar dalam karier seni saya.

"Malah, saya yang memulakan AF ini, jadi mengapa tidak untuk saya mengakhirinya," kata anak jati Kuala Lumpur ini tanpa selindung.

Memang benar apa yang dikatakan Aznil itu kerana AF sebenarnya telah membuka satu lembaran baru dalam kariernya sebagai seorang pengacara.

Menerusi AF jugalah, Aznil telah diiktiraf sebagai Pengacara TV Terbaik Anugerah Seri Angkasa untuk dua tahun berturut-turut pada 2004 dan 2005.

Malah, AF juga telah melonjakkan kembali populariti Aznil sebagai pengacara yang diminati ramai dan buktinya, dia menerima gelaran Pengacara TV Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular selama tujuh tahun berturut-turut dari 2003.

Meskipun sudah meninggalkan AF selama tiga tahun, namun Aznil dengan penuh jujur memberitahu, dia tetap mengikuti perkembangan program realiti tersebut.

Pernah menduduki kerusi sebagai pengkritik tetap AF8 tahun lalu, bagi Aznil, peranan seorang pengacara AF hari ini memang sudah jauh berbeza jika hendak dibandingkan ketika zaman dia mengendalikannya lima tahun lalu.

Jelasnya, ketika itu, Astro hanya memiliki saluran Ria dan tidak ada saluran lain yang dapat mengganggu perjalanan serta mengambil masa tontonan AF.

"Tetapi hari ini sudah berubah dan Astro sendiri memiliki pelbagai saluran yang mempunyai program pada waktu tontonan yang sama atau selepas berakhirnya AF.

"Jika dulu, AF boleh terus bersambung walaupun selepas berita ditayangkan tetapi sekarang ia tidak boleh lagi melepasi waktu-waktu tersebut kerana bimbang akan mengganggu perjalanan waktu program lain.

"Jadi, di sini terletaknya cabaran buat saya sebagai pengacara untuk mengawal situasi dan keadaan agar ia tidak melepasi waktu yang sudah ditetapkan.

"Saya tidak menganggap ia sebagai satu kekangan sebaliknya saya akan menjadikan pentas AF9 sebagai pentas untuk menguji diri sebagai seorang pengacara," kata duda beranak dua berusia 48 tahun ini penuh optimis.

Dalam masa yang sama, Aznil juga tidak menafikan bahawa dia merindui untuk mendapat maklum balas dan kritikan secara langsung setiap kali mengacarakan konsert mingguan AF mahupun diari harian.

Bagi Aznil yang juga pengacara Jangan Lupa Lirik! dan Macam-Macam Aznil ini, setiap komen yang diterima akan dijadikan sebagai azimat untuknya melakukan yang terbaik setiap minggu.

"Seboleh-bolehnya saya mahu mengelakkan kontroversi. Atas alasan itu, saya harus menjadi seorang yang peka dan sensitif kepada situasi apabila menjalankan tugas saya secara rasmi nanti.

"Lawak jenaka yang telah diguna pakai dulu misalnya, sudah tidak lagi relevan untuk diaplikasikan kepada tugas saya nanti.

"Jadi, saya perlu melakukan pemerhatian yang menyeluruh untuk menjadikan AF9 sebagai sebuah rancangan yang menarik dan tidak menjadi sesuatu yang klise kelak," kata Aznil bersungguh-sungguh sambil menyifatkan AF sebagai sebuah program realiti yang sarat dengan nilai kasih sayang.

No comments:

Post a Comment