Tuesday, November 5, 2013

Ngap Sayot era 1988-1989..

Cakap-cakap bola di kedai kopi, ada yang bertanya kepada saya kenapa sejarah bolasepak Sarawak tidak banyak didapati di internet? Agak sukar melihat gambar, cerita dan kisah yang terdahulu. Itulah luahan beberapa peminat muda Sarawak. Ada dikalangan mereka yang masih belum lagi lahir ketika zaman 1988 dan mungkin ada yang lagi masih kecil.

Ada juga beberapa rakan Facebook yang mengesyorkan kepada saya untuk posting seberapa sedikit tentang sejarah Ngap Sayot. Apa yang saya kongsikan di sini mungkin hanya pengalaman sendiri dan perkongsian cerita dari rakan-rakan sebaya.

Pengasas FAS adalah tak lain dan tak bukan, Allahyarham Datuk Taha Ariffin. Pada tahun 1974, beliau dan rakan-rakan yang lain telah menubuhkan FAS atas dasar ingin membangunkan bolasepak negeri Sarawak. Sarawak mula menyertai kejohanan Piala Malaysia pada tahun 1979. Ketika itu, format agak simple. Bermain pertandingan liga dan seterusnya lapan pasukan teratas melayakkan diri ke peringkat kalah mati suku akhir Piala Malaysia. Ketika mula menyertai, Sarawak bolehlah dianggap pasukan belasahan dan berada dikelompok pasukan bawahan liga. Maklumlah, sebelum itu hanya terlibat dalam Piala Borneo (yang melibatkan Brunei, Sabah dan beberapa pasukan jemputan lain) dan Piala Burnley (kini Piala Presiden).

Antara jurulatih yang pernah membimbing Sarawak adalah jurulatih import Alan Bradshaw, Chow Kwai Lam, pengendali dari Kelantan Mohd Che Su. Projek 1987 sememangnya begitu sinonim dengan Che Su yang mensasarkan target untuk layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia. Namun, tidak kesampaian.

Pada tahun 1988 pula, Awang Mahyan selaku bekas pemain Sarawak dilantik untuk mengemudi pasukan Sarawak. Jika dilihat usia beliau ketika itu, mungkin agak sebaya dengan diri saya ketika ini, pertengahan 30-an. Beliaulah sebenarnya pencetus dan pengasas 'Ngap Sayot'. Seterusnya mengubah landskap bola sepak Sarawak. 

Barisan Ngap Sayot 1988

Pemain-pemain ketika itu seperti Pengiran Bala, Ali Shafie, Affendi Jol, Roslan Ismail, Burhaniza Abu Bakar, Jalil Ramli, Azmi Arif. Saya masih ingat ketika Sarawak menumpaskan Pahang 1-0 di Kuching dalam perlawanan liga, Pengiran Bala telah menjaringkan gol terpantas hanya 8 saat selepas sepak mula. Saya tidak pasti sampai sekarang, adakah pemain lain yang mampu mengatasi rekod tersebut? 

Pada musim tersebut, Sarawak menduduki tempat ke-6 dalam peringkat Liga dan seterusnya melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia buat pertama kalinya. Lawan di suku akhir adalah pasukan Johor. 1st leg di Johor, Sarawak tumpas 0-2. dan kemudiannya di Kuching, Sarawak membalas dengan kemenangan 4-0. Saya juga berada di stadium ketika itu menyaksikan kelincahan Burhaniza Abu Bakar meledakkan 2 gol. 

Lawan di peringkat separuh akhir pula adalah Kedah. Di Alor Setar, Sarawak seri 1-1. Manakala di Stadium Negeri, 28 Oktober 1988..saya turut berada di sana ketika itu. Stadium yang mampu memuatkan hanya kira-kira 15,000, tetapi yang datang melebih jumlah tersebut. Sehinggakan penonton duduk di balapan stadium dan menyebabkan perlawanan ditangguh beberapa jam. Perlawanan hanya berlangsung selama 37 minit dan kemudiannya pemain Kedah keluar dari padang atas faktor keselamatan. Masih segar di ingatan peristiwa tersebut. FAM seterusnya mengambil keputusan untuk mengadakan perlawanan penentuan di Stadium Nasional, Singapura. Sarawak tewas tipis 0-1. 

Musim 1989, permulaan kepada Liga Semi Pro. Permulaan kepada 3 orang pemain import. Sarawak berada di Divisyen Satu tanpa pemain import. Stadium Negeri pula telah dinaiktaraf dan diperbesarkan lagi tempat duduknya seperti sekarang. Awang Mahyan masih lagi selaku jurulatih dan dibantu oleh Wahet Uji. Walaupun dengan pemain tempatan, namun Sarawak juga mampu ke peringkat suku akhir Piala Malaysia. Pasukan Kuala Lumpur lawan di suku akhir. Perlawanan pertama di Kuching, Sarawak menang dengan 2-1. Namun peristiwa di Stadium Merdeka pada perlawanan kedua, satu lagi peristiwa detik hitam. 

Kisah bermula apabila Ali Shapie mengalami kecederaan dan berlakulah ketidakpuasan terhadap keputusan pengadil, Steven Ovinis yang melayangkan kad merah kepada beliau. Pemain Sarawak mula bertelagah dengan beliau akibat keputusan yang tidak menyenangkan. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila pihak keselamatan FRU turut terlibat dengan memukul pemain Sarawak. FAM memberi kemenangan percuma kepada Kuala Lumpur 3-0. 

Akibat peristiwa tersebut, FAS mengambil keputusan drastik dengan keluar daripada badan induk FAM. Namun atas usaha damai Menteri Sukan ketika itu, Datuk Seri Najib (Perdana Menteri sekarang) dan pihak kerajaan negeri berjaya mengembalikan FAS kepada badan induk tersebut. Musim 1990 pula di bawah jurulatih Wahet Uji juga tanpa pemain import, adalah detik malang bagi Sarawak apabila gagal menyerlah dan seterusnya terperosok ke Divisyen Dua untuk musim berikutnya.

Zaman Ngap Sayot ketika 1988- 1989 adalah zaman pencetus gelombang baru bagi peminat di Sarawak. Masih ingat selepas Sarawak berjaya melayakkan diri ke separuh akhir buat pertama kalinya, jurulatih Awang Mahyan dan diikuti peminat yang lain terjun dari Jambatan Gantung Satok. Semua orang bercakap mengenai Ngap Sayot tanpa mengira usia, bangsa dan latar belakang. Itulah revolusi Ngap Sayot!!!

No comments:

Post a Comment