Tuesday, June 5, 2012

Kejohanan Euro2012

Kejohanan EURO2012 akan berlangsung tidak lama lagi. Dijangka bermula pada 8 Jun sehingga 2 Julai. Nampaknya, demam bolasepak akan melanda. Tuan rumah bersama Poland dan Ukraine sudah bersedia sepenuhnya.

Difahamkan, juara edisi kali ini akan menerima sejumlah 23.5 juta Euro (RM94 juta) hadiah kemenangan. Seperti kejohanan yang lepas, 16 pasukan akan bertarung dengan dibahagikan kepada 4 kumpulan masing-masing.

Kumpulan A akan menampilkan bekas juara 2004, Greece, tuan rumah Poland, Russia dan juga Republik Czech. Sementara Kumpulan B yang dilabelkan sebagai kumpulan maut terdiri daripada Denmark, Belanda, Jerman dan Portugal.

Crotia, Republik Ireland, Itali dan juara bertahan, Sepanyol berada di Kumpulan C. Kumpulan D pula terdiri daripada tuan rumah, Ukraine, Sweden, Perancis dan pasukan pilihan saya, England.

Jika melihat kepada jadual perlawanan, kesemua akan bermula pada pukul 12 tengah malam dan 2.45 pagi jam waktu Malaysia. Mungkinkah ramai akan mengambil cuti sakit atau cuti tambahan semata-mata untuk menonton perlawanan di kaca tv?

Sebagai seorang peminat setia sukan bolasepak, saya mengambil perhatian penuh kepada setiap edisi EURO. Seperti yang kita sedia maklum, antara kejutan terbesar EURO adalah ketika edisi 1992 di Sweden dimana Denmark telah muncul sebagai juara. Denmark pada awalnya tidak tersenarai antara 8 finalis yang bertanding. Disebabkan negara Yugoslavia ketika itu yang mengalami krisis perang saudara, maka Denmark selaku pasukan di tempat ke dua kelayakan kumpulan selepas Yugoslavia dipanggil untuk memenuhi 8 pasukan.  Aksi memukau Denmark dengan mengalahkan Belanda di separuh akhir dan Jerman di Final menobatkan mereka sebagai juara.

Edisi 2004 pula meletakkan pasukan Greece sebagai juara. Satu lagi kejutan besar dengan mereka menewaskan pasukan tuan rumah, Portugal ketika final 1-0. Itulah bagi saya, antara kejutan dalam sejarah kejohanan EURO.

Macam mana pula dengan sejarah pasukan pilihan saya, England? Bagi saya, edisi 1996 adalah peluang terbaik mereka untuk muncul juara. Selaku tuan rumah, England telah melakukan yang terbaik sehinggalah tewas dengan penentuan penalti pada separuh akhir dengan pasukan juara edisi tersebut iaitu Jerman. 

Untuk edisi kali ini, saya tidak meletakkan pasukan England sebagai pilihan. Mungkin untuk melepasi peringkat kumpulan adalah sebagai kejayaan bagi mereka. Tapi bagi saya pasukan pilihan semestinya Sepanyol, Belanda dan Jerman.

Selamat Menonton di kaca tv!!!..




No comments:

Post a Comment