Saturday, March 12, 2011

Minyak, harga barang makanan dan inflasi

Sementara menunggu perlawanan bolasepak FA Cup antara MU dan Arsenal yang bermula sebentar lagi, saya sempat meluangkan masa surfing berita dan rencana. Kali ini, saya ingin berkongsi satu rencana yang berkaitan dengan kenaikan harga minyak dan impaknya kepada harga barang dan inflasi. Sesuatu yang sudah menjadi rutin dan kebiasaan dengan peristiwa yang berlaku dan isu semasa dunia. Diharap kerajaan mampu melakukan sesuatu supaya ia tidak membebankan rakyat Malaysia amnya....


Utusan Malaysia..12/03/2011:-

RUSUHAN yang berlaku di Libya, salah sebuah pengeluar minyak terbesar di benua Afrika, menyebabkan harga minyak melambung ke paras melebihi AS$100 setong, satu-satunya paras yang sekian lama tidak tercecah.

Kenaikan harga minyak ketika dunia masih bergelut dengan pemulihan ekonomi dilihat bakal membantutkan usaha pertumbuhan.

Pada waktu yang sama, dunia juga berdepan dengan harga barang makanan yang melambung sama ada disebabkan bekalan berkurangan dari negara pengeluar ekoran cuaca buruk yang melanda beberapa negara atau suatu fenomena yang ada kaitannya dengan usaha untuk keluar daripada kemelut ekonomi yang melanda kebanyakan negara selama ini.

Inflasi menjadi satu kebimbangan banyak negara dan ini menyebabkan pihak berkuasa mengambil tindakan membendung inflasi daripada bermaharajalela. Langkah yang diambil mungkin mengugat usaha untuk pulih sepenuhnya. Kita melihat bukan sahaja harga barang makanan yang melonjak tetapi juga harga komoditi seperti arang batu, besi dan logam.

Walaupun pergolakan di Timur Tengah tidak banyak mendatangkan impak, selain daripada Libya, ketidakstabilan di rantau tersebut jika merebak bakal menimbulkan masalah. Pada masa ini, dunia kewangan di Amerika dan Eropah dilihat tidak banyak tergugat dengan perkembangan tersebut.

Bagi kita, peringatan bahawa minyak tidak akan dinaikkan buat sementara waktu adalah sesuatu yang menenangkan tetapi kenaikan harga barang makanan menimbulkan keresahan.

Kedudukan kita sebagai pengimport barang makanan yang besar, kira-kira RM11 bilion setahun bermakna kita turut mengimport inflasi yang datang sekali dengan barang-barang makanan yang kita import itu.

Tidak mungkin setiap barang makanan dapat dikawal harganya kerana dasar bebas pasaran yang kita amalkan. Justeru, tekanan kepada kos sara hidup rakyat biasa tidak dapat dielakkan.

Apa yang mungkin dapat dilakukan adalah cuba mempelbagaikan sumber pemerolehan barang-barang makanan ini supaya mendapat kos pengimportan yang terbaik sekali. Pilihan ini mungkin juga terhad disebabkan sesuatu jenis barang tersebut mungkin tidak dapat diperoleh di negara lain.

Dalam usaha kita mengekalkan pertumbuhan sekurang-kurangnya enam peratus selama 10 tahun akan datang, sebarang lonjakan harga barangan asas seperti bahan binaan akan mengugat pertumbuhan.

Pengguna akan dibelenggu dengan kenaikan inflasi menyebabkan pendapatan yang boleh dibelanjakan berkurangan atau dengan erti kata lain, dengan jumlah wang yang sama, barang yang boleh dibeli akan berkurangan. Perbelanjaan pengguna merupakan salah satu penyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi negara.

Walau apa pun perkembangan yang berlaku di peringkat global pada masa ini, tanda-tanda pemulihan ekonomi di negara-negara yang dilanda kemelesetan seperti Amerika Syarikat dan Eropah (selain daripada yang memerlukan bantuan) memberikan keyakinan keseluruhan bahawa dunia sudah mula keluar dari kemelut ekonomi dahulu.

Pendapatan syarikat menunjukkan peningkatan keseluruhannya dan institusi kewangan yang diberi suntikan dahulu mampu menunjukkan keuntungan yang memuaskan.

Malangnya keperluan politik dalam bentuk pilihan raya kecil di Kerdau dan Merlimau mengalihkan tumpuan kita sejenak daripada persoalan pembangunan ekonomi kepada isu-isu politik dan seperti biasa retorik yang ditimbulkan perlu juga ditangani.

Mungkin satu ‘checklist’ tentang isu-isu yang lazimnya dibangkitkan semasa pilihan raya oleh pihak pembangkang wajar dikumpulkan supaya dapat dijadikan sempadan.

No comments:

Post a Comment