Tuesday, January 25, 2011

Sarawak perlukan sokongan


Pada hari ahad yang lepas, saya berkesempatan meluangkan masa seketika untuk bertemu dengan pasukan bolasepak negeri di Kuching Waterfront. Majlis yang dianjurkan oleh SADIEHAF SARAWAK iaitu Sarawak Football Die Hard Fan's bersama FAS dan Radio ERA.fm.


Petikan dari Utusan Borneo 24.01.2011:-

KUCHING: Hanya tinggal seminggu sahaja lagi sebelum pasukan Sarawak memulakan perjuangan mereka dalam kancah Liga Malaysia 2011 tatkala tirai Liga Perdana disingkap pada 31 Januari ini.

Sarawak membuka langkah pertama dengan menentang pasukan Pulau Pinang di gelanggang lawan, Stadium Batu Kawan Pulau Pinang dalam saingan Liga Perdana pada Isnin depan.

Memandang ke belakang dengan menyedari beberapa musim kebelakangan ini kelihatan hambar, jauh di sudut hati skuad negeri untuk mula mempamerkan kewibawaan sebenar mereka di pentas bola sepak kebangsaan demi mengangkat kembali maruah bola sepak negeri.

Tidak hairanlah jika Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datu Sudarsono Osman meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada skuad Sarawak musim ini untuk mengecapi kejayaan gemilang di pentas bola sepak, berbekalkan sokongan padu para peminatnya.

“Kita berharap para peminat dan penyokong setia pasukan Sarawak akan memberi sokongan padu kepada pasukan kita untuk menyemarakkan semangat pemain-pemain beraksi nanti,” katanya.

Berucap pada majlis ‘Sesi Pemain Bertemu Peminat’ di Tebingan Kuching di sini semalam (Ahad), Sudarsono percaya ribuan peminat bola sepak tempatan akan membanjiri stadium pada perlawanan pembukaan nanti.

Beliau berkata pasukan Sarawak 2011 merupakan adunan pemain-pemain berpengalaman musim lalu dan muka baru selain penampilan pemain-pemain import tempatan dari Johor, Negeri Sembilan dan Sabah.

“Saya percaya dengan pengalaman serta bakat-bakat yang ada dalam skuad Sarawak musim ini, kita mampu melakar kejayaan yang diidam-idamkan,” katanya sambil yakin Sarawak mampu melayakkan diri ke Liga Super pada musim hadapan.

Sudarsono menekankan pentingnya sokongan padu penyokong dan peminat setia pasukan Sarawak dicetuskan kembali pada musim seperti mana yang pernah kita saksikan ketika era kegemilangan ‘Ngap Sayot’ dan Bujang Senang.

Beliau menegaskan para penyokong memainkan peranan yang amat penting dalam membakar semangat para pemain untuk mengembalikan maruah bola sepak negeri yang ‘tercalar’ sejak beberapa musim kebelakangan ini.

“Semua pemain kini sudah bersiap sedia untuk mengibarkan cabaran mereka dalam kempen Liga Malaysia musim baru ini, justeru marilah sama-sama kita memberi sokongan kepada pasukan negeri,” katanya.

Skuad Sarawak akan beraksi buat pertama kali di gelanggang sendiri apabila menentang pasukan Harimau Muda B di Stadium Negeri, Petra Jaya jam 4.15 petang pada 11 Februari depan (Jumaat).

Sarawak terpaksa beraksi sebelah siang (petang) di Stadium Negeri buat sementara ini kerana Stadium Sarawak (gelanggang utama) masih dalam penyelenggaraan kerja-kerja pemasangan lampu limpah.

Selain Pulau Pinang dan Harimau Muda B, Sarawak juga bersaing dengan PDRM, Johor, Majlis Perbandaran Muar Johor, KL Pos Malaysia, ATM, Selangor PKNS, Kelab Bola Sepak USM Pulau Pinang, SDM Navy, Perlis dan Sime Darby.

No comments:

Post a Comment