saya terlalu kerap dan selalu bercerita tentang sukan bolasepak. apa salahnya, saya mengulas sedikit tentang sukan badminton negara. banyak berita nasional dari media massa sejak beberapa hari yang lepas berkisar kepada 'berita panas' perletakan jawatan jurulatih kebangsaan Datuk Misbun Sidek dari BAM. Apakah di sebaliknya? Setakat ini, tuan empunya diri masih berdiam diri dan tidak mahu untuk berbincang secara lebih lanjut dengan pihak media.Mungkin kita sudah tahu di sebalik perletakan jawatan beliau tersebut....:)
Rashid dedah Misbun terlalu kecewa, tertekan
KUALA LUMPUR - Sebagai ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek tidak rela kehilangan jurulatih berpengalaman seperti Datuk Misbun Sidek kerana ia mampu menjejaskan segala perancangan, terutama ketika tumpuan terarah kepada persiapan Sukan Olimpik 2012 dan Piala Thomas.
Namun sebagai adik, Rashid 'merelakan' pemergian abangnya daripada skuad kebangsaan jika itu yang mampu memberi kepuasan, kebebasan serta ketenangan kepada Misbun, yang dilihat begitu tertekan sejak beberapa bulan ini.
Menurut Rashid, abangnya itu jarang meluahkan perasaan dan isi hati baik kepada adik-beradik, pemain bimbingannya mahupun rakan jurulatih, namun daripada perbualan mereka, beliau dapat merasakan Misbun sering menganggap dirinya tidak dihargai dan dihormati oleh beberapa individu Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Misbun sering meluahkan rasa kecewa dengan sikap segelintir individu yang sering mempersoalkan kegagalan anak didiknya, Datuk Lee Chong Wei memenangi kejuaraan utama dunia seperti Olimpik, gelaran dunia atau Sukan Asia hinggakan pada mereka menjuarai gelaran dalam kalendar Siri Super, terutama All England tidak memberi makna.
Malah kata Rashid, Misbun pernah mengadu kemampuannya dipertikaikan kerana hanya berjaya menaikkan nama Chong Wei, sedangkan pemain-pemain lain di bawah naungannya gagal menonjol.
"Saya tidak boleh beritahu secara spesifik apa yang terbuku dan dirasai oleh Misbun tetapi daripada pandangan saya sebagai seorang rakan sekerja dan adik, saya dapat merasai kekecewaannya terhadap segelintir pegawai dalam persatuan.
"Tindakannya (untuk berhenti) bukan drastik tetapi sudah pendam terlalu lama sebelum akhirnya membuat keputusan. Dia sering mengadu tidak dihargai dan dihormati, malah segala perancangannya terbatas, hendak buat itu atau ini tidak boleh tetapi bila tiada keputusan dikritik.
"Saya tiada kuasa untuk menghalang Misbun daripada pergi.. saya juga tidak berupaya untuk memujuknya kerana dia sudah buat keputusan tetapi jika BAM berasakan mereka masih memerlukan khidmat Misbun dan tidak mahu dia pergi, terpulang kepada mereka untuk berunding. Saya tidak boleh melakukan apa-apa," ujar Rashid.
Menurut Rashid, sebagai ketua jurulatih kebangsaan, kehilangan Misbun akan meninggalkan ruang yang besar untuk ditampung olehnya dan penolong jurulatih, Teh Seu Bock. Justeru, beliau berharap penyelesaian dapat dicapai di antara BAM dan Misbun dalam masa terdekat agar tidak menjejaskan perancangan yang telah dibuat.
Malah Rashid mengakui, andai jejak Misbun diikuti Chong Wei, ia akan memberi kesan buruk kepada BAM secara keseluruhan, terutama dari segi penajaan kerana jaguh No. 1 dunia itu mempunyai pengaruh besar dalam membawa masuk penajaan.
Rashid menegaskan, Misbun tidak harus dipersalahkan jika ada pemain yang mengambil keputusan untuk meninggalkan badan badminton itu kerana beliau tidak pernah mempengaruhi mana-mana pemain pemain agar mengikuti langkahnya, sebaliknya hanya membuat keputusan untuk diri sendiri.
No comments:
Post a Comment