Monday, January 31, 2011
Ambil ikhtibar dari apa yang berlaku di Mesir
Sejak beberapa hari yang lepas, kita dikejutkan dengan kejadian yang berlaku di Mesir. Demonstrasi besar-besaran yang dilakukan oleh penduduk Mesir disebabkan keengganan Presiden Mesir iaitu Hosni Mubarak meletak jawatan. Ramai rakyat Mesir yang tidak berdosa menjadi mangsa keadaan tersebut.
Demonstrasi bukan lah amalan dan budaya kita. Marilah kita sama-sama berdoa supaya negara kita tidak menjadi seperti negara Mesir tersebut. Minta pertolongan dari NYA supaya rakyat kita dan pelajar di sana berada dalam keadaan yang selamat.
Keratan Berita Harian 31/1/2011:-
KAHERAH: Penduduk ibu negara Mesir ini terpaksa mengunci rapi pintu rumah mereka dan menubuhkan pasukan kawalan kejiranan berikutan rusuhan dan keganasan semakin menjadi-jadi selepas keadaan kucar-kacir menyusul akibat tunjuk perasaan antikerajaan besar-besaran sejak enam hari lalu.
Sementara itu, ribuan banduan dan tahanan melarikan diri dari empat penjara dan pusat tahanan selepas mencetuskan kebakaran dan bertempur dengan pengawal ketika ribuan penunjuk perasaan terus membanjiri jalan raya menuntut Presiden Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
Seorang pegawai keselamatan itu berkata, tahanan berkenaan yang termasuk beberapa orang dari kumpulan pembangkang yang diharamkan, Ikhwanul Muslimin dan kumpulan Palestin, Hamas, dibantu oleh kumpulan bersenjata yang bertempur dengan pengawal penjara selama beberapa jam.
Pemimpin Amerika Syarikat, Perancis dan Jerman terus mendesak Mubarak mengelak tindak balas ganas dan memperkenalkan pembaharuan yang dituntut penunjuk perasaan yang kebanyakannya adalah golongan muda.
Pasukan polis semalam mengurangkan kawalan di jalan raya, manakala anggota tentera semakin meningkatkan kawalan dengan mengerahkan kereta kebal dan perisai, terutama di depan bangunan kerajaan.
Beberapa penduduk melaporkan kumpulan remaja, sebahagiannya menunggang motosikal berleluasa di jalan raya dan bertindak merusuh ke dalam pasar raya, pusat beli belah dan kedai.
Beberapa daripada perusuh itu memasuki kawasan kediaman mewah di pinggir Kaherah dan menceroboh masuk rumah dan pangsa puri.
Dentuman tembakan juga kedengaran di pusat dan pinggir bandar.
Perusuh melarikan diri dengan set televisyen, barangan elektronik dan perabot dari pusat beli belah sepanjang sungai Nil.
Di Giza, sekumpulan remaja dilihat membawa lari berkotak-kotak arak, kerusi, sofa dan meja dari sebuah kasino.
Di pusat bandar, perusuh menceroboh masuk cawangan Arab International Bank dan beberapa kafe dan restoran termasuk McDonald's dan Hardees.
Bangunan ibu pejabat parti pemerintah dan pasar raya Carrefour di selatan bandaraya dibakar.
Rusuhan itu merebak walaupun pihak tentera mengenakan perintah berkurung dari 4 petang hingga 8 pagi.
Sementara itu, rangkaian televisyen antarabangsa Al-Jazeera berkata, pihak berkuasa Mesir mengarahnya menutup pejabatnya di Kaherah dan seluruh negara itu. – Agensi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment