Sunday, November 7, 2010
Saturday, November 6, 2010
Letusan paling dahsyat sejak 1930

Petikan dari Utusan Malaysia, 6/11/2010
YOGYAKARTA 5 Nov. - Gunung Merapi meletus lagi malam tadi, letusan paling dahsyat sejak ia mula meletus pada 26 Oktober lalu mengakibatkan 77 orang lagi maut.
Letusan kali ini bukan sahaja menyebabkan korban yang lebih besar tetapi ramai mangsa yang maut, mati dalam keadaan tragis, selain turut menyebabkan banyak rumah hangus, kampung lenyap ditimbus lahar dan debu panas, beribu-ribu penduduk hilang rumah kediaman dan terpaksa dipindahkan serta banyak penerbangan terpaksa dibatalkan.
Letusan kali ini menghamburkan debu dan awan panas setinggi 8,000 meter serta sejauh 28 kilometer dan memuntahkan lahar serta lumpur bara dan batu-batu yang mengalir menuruni gunung itu menyapu apa sahaja yang merintanginya sepanjang malam tadi sehingga pagi ini mencetuskan keadaan panik dan kelam kabut.
Ramai penduduk yang tinggal di kawasan sekitar gunung itu bertempiaran lari menyelamatkan diri dalam keadaan gelap malam serta awan pekat menuju ke jalan-jalan raya untuk mencari perlindungan.
Dengan angka terbaru itu, jumlah korban Gunung Merapi sejak ia mula meletus 26 Oktober lalu, sehari selepas kejadian tsunami di Kepulauan Mentawai di Sumatera Barat akibat gempa bumi, kini meningkat kepada 113 orang.
Jumlah mereka yang telah dipindahkan kini lebih 100,000 orang, dengan 30,000 ditempatkan di stadium sukan kira-kira 25 kilometer dari gunung itu.
Lapangan Terbang Antarabangsa Adi Sutjipto di Yogyakarta ditutup berikutan diselubungi debu panas setinggi 2,914 meter yang berbahaya kepada pesawat.
"Berdasarkan letusan hari ini, letupan yang dicetuskan oleh Gunung Merapi kali ini lebih dahsyat daripada letusan pada 1930,'' kata pakar gunung berapi, Subandrio.
Pada 1930, kira-kira 1,300 orang maut apabila gunung itu meletus yang dianggap paling besar sejak 1872.
Zon berbahaya telah diperluaskan dari 15 kilometer hingga 20 kilometer sekitar gunung itu dan mereka yang tinggal dalam radius itu telah diarah berpindah segera, katanya.
Menteri Pengangkutan Indonesia telah mengarahkan juruterbang supaya menjauhkan pesawat mereka kira-kira 12 kilometer dari debu panas gunung berapi itu dan beberapa penerbangan menghubungkan Jawa Tengah dengan Singapura dan Malaysia minggu ini telah dibatalkan.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono telah mengumumkan penghantaran satu briged tentera bagi membantu kerja-kerja menyelamat di wilayah Jawa Tengah ekoran tragedi itu. - UTUSAN
>>>>Gunung Merapi meletus lagi. Begitu menyayat hati bila membaca berita mengenai penduduk Indonesia selama ini. Berbagai-bagai malapetaka terjadi. Kita di Malaysia sepatutnya bersyukur kerana tidak berada di zon gunung berapi ataupun gempa bumi..
Friday, November 5, 2010
Selamat Hari Deepavali!!
Semangat 1 MalaysiaHari Deepavali juga dikenali sebagai Diwali dan Divali. Ia disambut oleh semua penganut yang beragama Hindu di seluruh dunia. Perkataan Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa" yang beerti cahaya dan perkataan "Gavali" yang beerti barisan...
Kepada semua yang menyambutnya..."Selamat menyambut Hari Deepavali"....
Wednesday, November 3, 2010
Mahu jenama KRU terus hidup
Jenama kebanggaan tiga beradik (dari kiri), edry abdul halim, norman abdul halim dan yusry abdul halim.Petikan dari Utusan Malaysia...3/11/2010
SEJAK kemunculan mereka pada tahun 1992, tiga beradik yang menggelarkan diri mereka KRU pantas meraih populariti. Bermula dengan album perdana mereka, Canggih, KRU terus menakluk industri muzik tempatan dengan mencetus pelbagai revolusi menerusi muzik mereka.
Dengan mempertaruhkan irama hip hop dan rap ketika itu, kehadiran KRU dilihat sedikit canggung sementelah pasaran muzik yang lebih didominasi genre pop dan rock.
Tetapi, berbekalkan semangat dan iltizam yang kuat dan mahu mengubah trend industri muzik, KRU tidak ambil peduli apa kata orang.
Diketuai oleh Norman Abdul Halim selaku ketua kumpulan bersama-sama dua adiknya yang lain, Yusry dan Edry hanya mengambil segala yang positif untuk menjadi bekalan azimat buat mereka.
Mereka enggan menoleh ke belakang lagi. Sebaliknya, terus pandang ke hadapan dengan visi serta misi mengukuhkan jenama KRU.
Apa yang dimiliki oleh KRU seperti yang dilihat hari ini bukanlah datang bergolek tetapi adalah usaha keras mereka tiga beradik sehingga berjaya menjadikan KRU sebagai sebuah entiti berpengaruh di negara ini.
Di awal kemunculan mereka, KRU hanya sekadar mampu menyewa di rumah kedai di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor.
Perlahan-lahan mereka mengumpul harta sehingga mampu memiliki sebuah bangunan yang diberi nama Wisma KRU di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur.
Beroperasi di bangunan berwarna jingga itu dari tahun 1997, KRU mencipta pelbagai rekod sehingga berjaya menubuhkan divisyen yang bermula dengan muzik sehinggalah terbinanya KRU Studios yang kini terarah kepada penerbitan filem dan televisyen.
Seperti mana muzik yang dihasilkan mereka, KRU juga mencetus revolusi dalam penghasilan filem sehingga mampu menjadi fenomena seperti dua filem Cicak-Man, Duyung dan terbaru, Magika.
Penyambung legasi KRU
KRU bagi sesetengah pihak barangkali, hanya akan dikenang sebagai artis sahaja. Namun, bagi pengasas grup ini, Yusry Abdul Halim, berhasrat melihat KRU bertahan lama.
Jejaka kacak berusia 37 tahun itu mahu melihat empayar KRU terus kekal dalam industri dan meninggalkan impak besar seperti mana yang dilakukan Walt Disney dan Warner bersaudara.
“Saya mahu melihat KRU Studios setanding dengan Walt Disney dan Warner Bros. yang sehingga ke hari ini terus dihormati dan dipandang tinggi.
“Tiada lain yang saya harapkan adalah untuk melihat empayar kami ini akan terus dikenang walaupun kami telah tiada nanti.
“Tidak semestinya anak-anak kami yang akan mengambil alih syarikat ini. Jika bukan mereka sekalipun, kami mahu orang yang benar-benar layak dan sesuai untuk meneruskan legasi seni kami selama-lamanya,” ujar Yusry yang juga Ketua Pegawai Kreatif KRU Studios.
Kejayaan KRU memiliki kemewahan, kemasyhuran dan kemegahan menerusi jenama yang dibina hampir dua dekad lalu membuktikan anak tempatan mampu setanding dengan masyarakat antarabangsa.
Apatah lagi mereka memilikinya hanya dalam usia mereka yang kesemuanya 30-an. Itu sudah cukup menjadi motivasi kepada anak muda untuk berjaya seperti mereka.
Tanpa usaha gigih, kerja keras serta sokongan padu oleh keluarga masing-masing, tidak mungkin KRU untuk mengecapi kegemilangan yang mereka sendiri tidak pernah bermimpi untuk memilikinya.
Peruntuk RM10 juta
Seiring dengan perkembangan teknologi yang ada masa kini, Edry Abdul Halim pula memberitahu, KRU Studios sentiasa menaik taraf kemudahan dan peralatan yang ada bagi memastikan ia tidak ketinggalan zaman.
Untuk itu, KRU memperuntukkan RM10 juta dan antara teknologi terkini yang akan digunakan oleh KRU Studios dalam penerbitan mereka adalah definisi tinggi (HD) dan stereoscopic 3D iaitu teknologi yang sama digunakan dalam filem Avatar.
Begitu juga dengan penerbitan telemovie mahupun drama bersiri dengan slot sebanyak 150 hingga 300 jam untuk stesen televisyen di negara ini.
KRU Studios juga mengorak langkah apabila bakal mewujudkan KRU TV khusus untuk kandungan mobil dan digital yang menyaksikan kerjasama antara mereka dengan Alt Media iaitu anak syarikat Media Prima Berhad.
“Kami optimis dengan segala kemudahan yang ada di KRU Studios ini mampu mencapai matlamat kami untuk menerbitkan 12 buah filem setahun menjelang 2014 termasuk dua filem animasi.
“Buat masa ini, sasaran kami menghasilkan lapan judul setahun sehingga 2012. Kami sedar, untuk merealisasikan impian itu, kami tidak boleh melakukannya sendirian.
“Kerana itu, kami mahu menjalin kerjasama selain memberi peluang kepada bakat baru khususnya dalam bidang perfileman yang kami percaya dapat membawanya ke satu peringkat yang lebih tinggi,” kata Edry yang bakal mengarahkan filem muzikal keduanya, 29 Februari tahun depan.
Antara judul filem yang bakal diterbitkan oleh KRU Studios tahun depan adalah Hantu Kapcai, Cinta Kura-Kura dan filem sekuel ketiga Cicak-Man.
>>>>saya memang meminati kumpulan ini sejak dari tahun 1990-an lagi. lagu-lagu pun best juga. antara lagu hits mereka seperti 'Janji Tinggal Janji', 'Apa Saja', '2', 'Perpisahan Terasing'. Di samping itu mereka juga menerbitkan album untuk kumpulan seperti Elite, Indigo dan banyak lagi. Semoga mereka akan tetap menerbitkan lagu-lagu yang pop dan sedap untuk didengar lagi..selain filem-filem yang bermutu tinggi:)....
Saturday, October 30, 2010
November oh November..
Bulan Oktober akan melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Dan menjelma lah pula bulan November. Memang tidak terasa hanya tinggal 2 bulan saja lagi kita di tahun 2010 ini. Seperti baru semalam sahaja menyambut Tahun Baru 2010.
Untuk isu semasa di Sarawak , pada 1hb sehingga 10hb November akan berlangsungnya sidang DUN. Difahamkan juga pada persidangan tersebut, akan dibentangkan belanjawan negeri untuk tahun 2011. Spekulasi menyatakan bahawa belanjawan tersebut adalah 'belanjawan pilihanraya' yang mana pada bila bila masa saja pilihanraya negeri boleh diadakan.
'by election' Parlimen di Batu Sapi dan DUN di Galas akan diadakan pada 4hb November. Hanya masa yang menentukan siapa yang akan menang. Pilihan di tangan rakyat yang mengundi nanti.
Sukan Asia yang ke -16 juga akan berlangsung pada 12hb- 27hb November di Guangzhou, China. Selepas kecemerlangan di Sukan Komanwel,sudah pasti kita ingin melihat sejauh mana pencapaian kontijen negara di peringkat Asia pula. Lebih-lebih lagi kepada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.
Macam mana pula dengan pasukan idola saya, Manchester United? Jika dilihat jadual perlawanan sepanjang November, hanya perlawanan menentang pasukan jiran Man City saja yang saya rasa boleh dikatakan sengit. Di samping perlawanan EPL, terdapat juga 2 perlawanan untuk Champions League iaitu menentang Bursaspor dan Glasgow Rangers. Semoga berjaya MU!!!
Kumpulan muzik lama, Air Supply pula akan mengadakan konsert 'live' di Malaysia pada pertengahan November di 3 lokasi iaitu KL,Kuantan dan Pulau Pinang. Air Supply sememangnya juga adalah salah satu kumpulan muzik favourite saya. Kalaulah mereka ada mengadakan konsert di Kuching, semestinya saya akan pergi menonton.
Filem yang mempaparkan kisah inventor Facebook, Mark Zuckerberg akan ditayang kan secara rasminya pada 11hb November. Sudah pastinya, kita tidak akan terlepas ketinggalan untuk menonton filem tersebut.
Untuk bulan November secara peribadinya, saya mempunyai jadual yang padat untuk dipenuhi. Bermula pada minggu pertama, mempunyai projek peribadi yang perlu disegerakan. Pada minggu kedua, difahamkan ada kursus teknikal di Pustaka selama 3 hari. Pada 11hb Nov pula akan berlangsungnya Hari 5S peringkat Ibu Pejabat. Hari 5S juga pemenang 'internal audit' akan diumumkan.Di minggu ke 3 pula, cuti-cuti sempena Hari Raya Aidiladha, Insya-allah dijangka menyambutnya di perantauan seketika..:)..
Selesai sahaja tamat cuti, diteruskan dengan penganjuran KIK peringkat jabatan oleh satu Unit yang kecil seramai 5 orang. Itulah antara cabaran terbesar pada bulan Nov. Selepas KIK, 2 hari berikutnya, saya akan menghadiri kursus BTN 5 hari di pekan Lundu. Begitulah bulan Nov yang akan dilalui nanti.
Anak kembar saya, Akak dan Adek pun turut berada di Kuching ketika ini. Mereka di sini untuk mendapatkan pemeriksaan rawatan di SGH, Kuching. Ditemani oleh pengasuh yang setia, Nenek mereka dari Miri..
Semoga November mendatangkan keceriaan untuk kita semua..dan Selamat Bercuti kepada cikgu-cikgu dan pelajar-pelajar sekolah nanti..:)
