Petikan dari Utusan Malaysia...3/11/2010
SEJAK kemunculan mereka pada tahun 1992, tiga beradik yang menggelarkan diri mereka KRU pantas meraih populariti. Bermula dengan album perdana mereka, Canggih, KRU terus menakluk industri muzik tempatan dengan mencetus pelbagai revolusi menerusi muzik mereka.
Dengan mempertaruhkan irama hip hop dan rap ketika itu, kehadiran KRU dilihat sedikit canggung sementelah pasaran muzik yang lebih didominasi genre pop dan rock.
Tetapi, berbekalkan semangat dan iltizam yang kuat dan mahu mengubah trend industri muzik, KRU tidak ambil peduli apa kata orang.
Diketuai oleh Norman Abdul Halim selaku ketua kumpulan bersama-sama dua adiknya yang lain, Yusry dan Edry hanya mengambil segala yang positif untuk menjadi bekalan azimat buat mereka.
Mereka enggan menoleh ke belakang lagi. Sebaliknya, terus pandang ke hadapan dengan visi serta misi mengukuhkan jenama KRU.
Apa yang dimiliki oleh KRU seperti yang dilihat hari ini bukanlah datang bergolek tetapi adalah usaha keras mereka tiga beradik sehingga berjaya menjadikan KRU sebagai sebuah entiti berpengaruh di negara ini.
Di awal kemunculan mereka, KRU hanya sekadar mampu menyewa di rumah kedai di Taman Melawati, Hulu Kelang, Selangor.
Perlahan-lahan mereka mengumpul harta sehingga mampu memiliki sebuah bangunan yang diberi nama Wisma KRU di Jalan Jelatek, Kuala Lumpur.
Beroperasi di bangunan berwarna jingga itu dari tahun 1997, KRU mencipta pelbagai rekod sehingga berjaya menubuhkan divisyen yang bermula dengan muzik sehinggalah terbinanya KRU Studios yang kini terarah kepada penerbitan filem dan televisyen.
Seperti mana muzik yang dihasilkan mereka, KRU juga mencetus revolusi dalam penghasilan filem sehingga mampu menjadi fenomena seperti dua filem Cicak-Man, Duyung dan terbaru, Magika.
Penyambung legasi KRU
KRU bagi sesetengah pihak barangkali, hanya akan dikenang sebagai artis sahaja. Namun, bagi pengasas grup ini, Yusry Abdul Halim, berhasrat melihat KRU bertahan lama.
Jejaka kacak berusia 37 tahun itu mahu melihat empayar KRU terus kekal dalam industri dan meninggalkan impak besar seperti mana yang dilakukan Walt Disney dan Warner bersaudara.
“Saya mahu melihat KRU Studios setanding dengan Walt Disney dan Warner Bros. yang sehingga ke hari ini terus dihormati dan dipandang tinggi.
“Tiada lain yang saya harapkan adalah untuk melihat empayar kami ini akan terus dikenang walaupun kami telah tiada nanti.
“Tidak semestinya anak-anak kami yang akan mengambil alih syarikat ini. Jika bukan mereka sekalipun, kami mahu orang yang benar-benar layak dan sesuai untuk meneruskan legasi seni kami selama-lamanya,” ujar Yusry yang juga Ketua Pegawai Kreatif KRU Studios.
Kejayaan KRU memiliki kemewahan, kemasyhuran dan kemegahan menerusi jenama yang dibina hampir dua dekad lalu membuktikan anak tempatan mampu setanding dengan masyarakat antarabangsa.
Apatah lagi mereka memilikinya hanya dalam usia mereka yang kesemuanya 30-an. Itu sudah cukup menjadi motivasi kepada anak muda untuk berjaya seperti mereka.
Tanpa usaha gigih, kerja keras serta sokongan padu oleh keluarga masing-masing, tidak mungkin KRU untuk mengecapi kegemilangan yang mereka sendiri tidak pernah bermimpi untuk memilikinya.
Peruntuk RM10 juta
Seiring dengan perkembangan teknologi yang ada masa kini, Edry Abdul Halim pula memberitahu, KRU Studios sentiasa menaik taraf kemudahan dan peralatan yang ada bagi memastikan ia tidak ketinggalan zaman.
Untuk itu, KRU memperuntukkan RM10 juta dan antara teknologi terkini yang akan digunakan oleh KRU Studios dalam penerbitan mereka adalah definisi tinggi (HD) dan stereoscopic 3D iaitu teknologi yang sama digunakan dalam filem Avatar.
Begitu juga dengan penerbitan telemovie mahupun drama bersiri dengan slot sebanyak 150 hingga 300 jam untuk stesen televisyen di negara ini.
KRU Studios juga mengorak langkah apabila bakal mewujudkan KRU TV khusus untuk kandungan mobil dan digital yang menyaksikan kerjasama antara mereka dengan Alt Media iaitu anak syarikat Media Prima Berhad.
“Kami optimis dengan segala kemudahan yang ada di KRU Studios ini mampu mencapai matlamat kami untuk menerbitkan 12 buah filem setahun menjelang 2014 termasuk dua filem animasi.
“Buat masa ini, sasaran kami menghasilkan lapan judul setahun sehingga 2012. Kami sedar, untuk merealisasikan impian itu, kami tidak boleh melakukannya sendirian.
“Kerana itu, kami mahu menjalin kerjasama selain memberi peluang kepada bakat baru khususnya dalam bidang perfileman yang kami percaya dapat membawanya ke satu peringkat yang lebih tinggi,” kata Edry yang bakal mengarahkan filem muzikal keduanya, 29 Februari tahun depan.
Antara judul filem yang bakal diterbitkan oleh KRU Studios tahun depan adalah Hantu Kapcai, Cinta Kura-Kura dan filem sekuel ketiga Cicak-Man.
>>>>saya memang meminati kumpulan ini sejak dari tahun 1990-an lagi. lagu-lagu pun best juga. antara lagu hits mereka seperti 'Janji Tinggal Janji', 'Apa Saja', '2', 'Perpisahan Terasing'. Di samping itu mereka juga menerbitkan album untuk kumpulan seperti Elite, Indigo dan banyak lagi. Semoga mereka akan tetap menerbitkan lagu-lagu yang pop dan sedap untuk didengar lagi..selain filem-filem yang bermutu tinggi:)....
No comments:
Post a Comment