Friday, May 20, 2011

Jom ke Serikin..

Ketika cuti umum 1 Mei yang lalu, saya berkesempatan ke SERIKIN, pekan kecil yang terletak di sempadan Malaysia-Indonesia di pulau Borneo, sememangnya tidak asing dan menjadi tumpuan kepada mereka yang suka membeli-belah terutama di kalangan pembeli dari Semenanjung.

Terletak di daerah Bau dan tidak jauh dari Tasik Biru dan gua Fairy, pekan kecil ini hanya mengambil masa kira-kira 45 minit perjalanan dari bandar Kuching. Tetapi, masa yang diambil untuk perjalanan ketika itu hampir mengambil masa 2 jam disebabkan oleh kesesakan yang luar biasa sempena cuti umum yang panjang.

Di kiri dan kanan jalan menuju Serikin, terbentang luas tanah yang masih kosong dan dilitupi rimbunan hijau yang meninggi diselang-seli sesekali, rumah penduduk tempatan yang kebanyakannya orang Iban dan Bidayuh.

Di Serikin, matahari berdiri tegak di atas kepala lebih awal berbanding tempat lain di Sarawak berikutan kedudukannya yang hampir dengan garisan Khatulistiwa.

Walaupun keterikan matahari sesuatu fenomena yang diketahui ramai, namun ia tidak menjadi halangan kepada pengunjung untuk meneruskan hasrat menjamu mata atau membeli-belah di deretan gerai sepanjang hampir dua kilometer itu.

Air botol mineral dan tin coca cola memang banyak telah habis diminum oleh saya. Anak-anak pun hanya kesempatan menunggu dan berteduh di sebalik gerai-gerai berhampiran.



Antara barangan yang menarik perhatian ialah seperti kristal, hiasan kaca atau gelas dan balang kuih, yang tidak mahal harganya. Terdapat juga barangan yang diperbuat daripada kayu seperti mainan/hiasan, gitar.

Ketika saya hendak meninggalkan kawasan yang dikenali oleh deretan gerai jualannya yang banyak ini, beberapa buah bas telah pun kelihatan di tempat letak kenderaan. Ramai sudah tiba untuk mengunjungi Serikin walaupun matahari sudah terik di atas kepala.

Blaus kain bercorak kotak boleh dibeli pada harga RM50 untuk dua helai. Harga seluar 'jeans' turut boleh ditawar, sehelai yang bersaiz dewasa diletakkan harga RM120 tetapi kemudian ia boleh dibeli pada harga RM70.

Selain itu ada yang lebih menarik di sini iaitu penjualan ketuhar gas jenis kekotak yang boleh diletakkan di atas meja.

Tidak kurang juga ada yang menjual telur penyu; satu barang larangan memandangkan telur penyu tidak dibenarkan penjualannya malah ia dilindungi, secara sembunyi-sembunyi. Tetiba anda akan disapa oleh penjual tertentu menanyakan berkaitan dengan telur tersebut..:))

1 comment:

  1. Hello Faisal,

    saya pernah ke Serikin. Tmpt tu memang sesak tetapi byk barangan menarik yg dijual. Agak agaknya, bila lah saya dapat ke sana lagi. Huhu.

    ReplyDelete