Pilihanraya kecil Parlimen Sibu rancak diperkatakan ketika ini. Hari ini adalah hari penamaan calon dan hari pengundian dijangka akan berlangsung pada 16 Mei nanti. Semua pasti akan tertumpu di bandar kedua terbesar di Sarawak tersebut sehinggalah keputusan diumumkan nanti. Pilihanraya dijalankan semula berikutan kematian Timbalan Menteri Pengangkutan dan anggota Parlimen Sibu 5 penggal iaitu Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April yang lepas.
Selain di negara kita, di Britain juga berlangsung pengiraan undi untuk pilihanraya yang dikatakan paling sengit dalam sejarah. Mampukah Perdana Menteri Britain, Gordon Brown terus duduk lama di Nombor 10, Downing Street, London? Hanya masa yang menentukan nanti. Di negara jiran kita, Thailand juga dijangka akan berlangsung pilihanraya pada bulan November. Perdana Menteri, Abhisit akan membubarkan Parlimen Thailand pada pertengahan bulan September dalam usaha beliau untuk menamatkan krisis dan penunjuk perasaan.
Saya memang meminati isu semasa politik di dalam maupun luar negara. Banyak info diperolehi dari pembacaan di suratkhabar, internet maupun dari siaran tv. Tapi, saya tidak akan menceritakan hal ehwal politik di sini. Takut nanti disalah tafsirkan oleh pihak tertentu. Biarlah hanya bualan di kedai kopi saja..:). Sebagai penjawat awam, saya akan berdiam diri saja dari berbicara lebih terbuka.
Apa yang ingin saya kongsikan bersama adalah berkaitan dengan Pilihanraya. Di negara kita, Pilihanraya Umum dijalankan 5 tahun sekali untuk memilih wakil rakyat di Parlimen maupun di DUN negeri masing-masing. Di seluruh negeri, pilihanraya Parlimen dan DUN dijalankan serentak kecuali di negeri Sarawak. Itulah keistimewaan negeri Sarawak. Tempoh DUN akan tamat pada tahun depan. Dan kita akan tunggu bila agaknya pilihanraya akan dijalankan.
Sebagai seorang rakyat Malaysia, sudah menjadi kewajipan kita untuk menjadi pemilih sekiranya telah mencapai umur 21 tahun. Saya telah berkesempatan untuk menjadi pengundi pada pilihanraya DUN Sarawak tahun 2001 (DUN Satok) dan Parlimen pada 2004 (Parlimen Petra Jaya). Masih teringat lagi ketika tahun 2001, kerani pengundian masih tertanya status saya ketika sudah masuk bilik pengundian. Pada masa itu, saya masih lagi menggunakan kad pengenalan lama yang mempunyai photo ketika umur 12 tahun. Ditambah lagi dengan wajah yang kebudak-budakan juga. Tapi, buktinya nama saya ada dalam list pemilih. Dan akhirnya, saya berjaya juga menunaikan kewajipan untuk julung kalinya..:)
Walaupun begitu, saya tidak berkesempatan untuk menjadi pemilih pada pilihanraya DUN 2006 dan Parlimen 2008. Apa yang ingin saya kongsikan bersama adalah tugasan saya ketika dua pilihanraya tersebut. Ketika saya berkhidmat Di Marudi, saya terpilih untuk menjadi Ketua Tempat Mengundi (KTM) untuk kedua-dua pilihanraya.
DUN MARUDI 2006
Bersama dengan anggota polis yang menjadi pengawal dan abg Pauzi Brahim (baju kuning)
Inilah kali pertama saya ditugaskan untuk menjadi KTM bersama dengan Kerani Pengundian, abg Pauzi dan Rahmat. Ketika itu, kami ditemani oleh 3 orang anggota polis sebagai pengawal. Perjalanan yang mengambil masa selama 3 jam menggunakan bot dan satu jam menggunakan jalan darat (4 wheel pick up) ke destinasi. Saya sudah terlupa nama lokasi tempat tersebut. Kami bermalam di tempat pengundian, blok kelas bangunan ditemani oleh rengit dan nyamuk.
Kunci Peti Undi sambil diperhatikan oleh Ajen-ajen dari Parti yang bertanding.
Menandatangani borang penjumlahan pengundi
Proses pengundian hanya berlangsung selama 3 jam dari pukul 8 sehingga 11 pagi. Kami bergegas balik ke pekan Marudi untuk proses pengiraan undi di Dewan Suarah Marudi. Tugasan pertama yang berjaya dilaksanakan...:)
Parlimen Baram 2008
8 Mac 2008 adalah tarikh Pilihanraya Umum ke 12 di seluruh negara. Kali ini, saya terpilih untuk menjalankan tugasan di Long Peluan. Iaitu di rumah panjang dan kampung tempat kelahiran Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Ose Murang. Perjalanan dari Marudi ke Long Akah menggunakan pesawat ringan Hornbill Skyways dan helikopter ke Long Peluan. Kali ini, saya bersama 2 orang Kerani Pengundiandan seorang anggota polis. Kami bermalam di airstrip Long Akah sebelum bertolak seterusnya ke destinasi pengundian masing-masing. Perjalanan menggunakan helikopter amat menyeronokkan. Dengan destinasi yang dituju ditentukan hanya menggunakan GPRS dari kokpit.
Helikopter yang digunakan untuk ke Long Peluan
Di airport Long Akah, lokasi persinggahan satu malam
Bersama 2 orang kerani pengundian yang berkaliber, Rahmat dan Cikgu Rizal :)
Ketua Tempat Mengundi.
Kami berempat menetap di rumah panjang utama tersebut. Dan berkesempatan juga melihat foto-foto lama Datu Ose Murang. Layanan yang diberikan cukup istimewa dari Ketua Kampung dan penduduk tempatan. Tidak lupa juga pada sebelah petang nya, kami mandi manda di sungai yang begitu jernih airnya.
Pada keesokan harinya, hari yang ditunggu-tunggu tiba. Proses pengundian hanya berjalan selama 1 jam sahaja. Terdapat juga sebilangan kaum penan dari Long Beruang yang datang mengundi. Saya bergegas balik menunggu helikopter dan bersiap sedia untuk membawa peti undi balik untuk penjumlahan undi. Semua KTM berkumpul di Long Akah semula dan menunggu pesawat untukke Marudi. Sementara 3 yang lain hanya balik pada sebelah petang nya menggunakan helikopter direct ke Marudi.
Sememang nya, kita sedia maklum hari Tsunami politik negara pada 8/3/2008. Apapun, pengalaman berharga bagi saya. Memang tidak dapat saya lupakan, kenangan bertugas ketika dua pilihanraya. Walaupun amat memenatkan tapi tugasan untuk negara pasti diutamakan. Mungkin pada pilihanraya akan datang, saya hanya akan menjadi pemilih dan berkongsi cerita pula dengan rakan-rakan lama di Marudi yang pasti akan bertugas lagi sewaktu proses pengundian..:)
No comments:
Post a Comment