Tuesday, November 5, 2013

Ngap Sayot era 1988-1989..

Cakap-cakap bola di kedai kopi, ada yang bertanya kepada saya kenapa sejarah bolasepak Sarawak tidak banyak didapati di internet? Agak sukar melihat gambar, cerita dan kisah yang terdahulu. Itulah luahan beberapa peminat muda Sarawak. Ada dikalangan mereka yang masih belum lagi lahir ketika zaman 1988 dan mungkin ada yang lagi masih kecil.

Ada juga beberapa rakan Facebook yang mengesyorkan kepada saya untuk posting seberapa sedikit tentang sejarah Ngap Sayot. Apa yang saya kongsikan di sini mungkin hanya pengalaman sendiri dan perkongsian cerita dari rakan-rakan sebaya.

Pengasas FAS adalah tak lain dan tak bukan, Allahyarham Datuk Taha Ariffin. Pada tahun 1974, beliau dan rakan-rakan yang lain telah menubuhkan FAS atas dasar ingin membangunkan bolasepak negeri Sarawak. Sarawak mula menyertai kejohanan Piala Malaysia pada tahun 1979. Ketika itu, format agak simple. Bermain pertandingan liga dan seterusnya lapan pasukan teratas melayakkan diri ke peringkat kalah mati suku akhir Piala Malaysia. Ketika mula menyertai, Sarawak bolehlah dianggap pasukan belasahan dan berada dikelompok pasukan bawahan liga. Maklumlah, sebelum itu hanya terlibat dalam Piala Borneo (yang melibatkan Brunei, Sabah dan beberapa pasukan jemputan lain) dan Piala Burnley (kini Piala Presiden).

Antara jurulatih yang pernah membimbing Sarawak adalah jurulatih import Alan Bradshaw, Chow Kwai Lam, pengendali dari Kelantan Mohd Che Su. Projek 1987 sememangnya begitu sinonim dengan Che Su yang mensasarkan target untuk layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia. Namun, tidak kesampaian.

Pada tahun 1988 pula, Awang Mahyan selaku bekas pemain Sarawak dilantik untuk mengemudi pasukan Sarawak. Jika dilihat usia beliau ketika itu, mungkin agak sebaya dengan diri saya ketika ini, pertengahan 30-an. Beliaulah sebenarnya pencetus dan pengasas 'Ngap Sayot'. Seterusnya mengubah landskap bola sepak Sarawak. 

Barisan Ngap Sayot 1988

Pemain-pemain ketika itu seperti Pengiran Bala, Ali Shafie, Affendi Jol, Roslan Ismail, Burhaniza Abu Bakar, Jalil Ramli, Azmi Arif. Saya masih ingat ketika Sarawak menumpaskan Pahang 1-0 di Kuching dalam perlawanan liga, Pengiran Bala telah menjaringkan gol terpantas hanya 8 saat selepas sepak mula. Saya tidak pasti sampai sekarang, adakah pemain lain yang mampu mengatasi rekod tersebut? 

Pada musim tersebut, Sarawak menduduki tempat ke-6 dalam peringkat Liga dan seterusnya melayakkan diri ke peringkat suku akhir Piala Malaysia buat pertama kalinya. Lawan di suku akhir adalah pasukan Johor. 1st leg di Johor, Sarawak tumpas 0-2. dan kemudiannya di Kuching, Sarawak membalas dengan kemenangan 4-0. Saya juga berada di stadium ketika itu menyaksikan kelincahan Burhaniza Abu Bakar meledakkan 2 gol. 

Lawan di peringkat separuh akhir pula adalah Kedah. Di Alor Setar, Sarawak seri 1-1. Manakala di Stadium Negeri, 28 Oktober 1988..saya turut berada di sana ketika itu. Stadium yang mampu memuatkan hanya kira-kira 15,000, tetapi yang datang melebih jumlah tersebut. Sehinggakan penonton duduk di balapan stadium dan menyebabkan perlawanan ditangguh beberapa jam. Perlawanan hanya berlangsung selama 37 minit dan kemudiannya pemain Kedah keluar dari padang atas faktor keselamatan. Masih segar di ingatan peristiwa tersebut. FAM seterusnya mengambil keputusan untuk mengadakan perlawanan penentuan di Stadium Nasional, Singapura. Sarawak tewas tipis 0-1. 

Musim 1989, permulaan kepada Liga Semi Pro. Permulaan kepada 3 orang pemain import. Sarawak berada di Divisyen Satu tanpa pemain import. Stadium Negeri pula telah dinaiktaraf dan diperbesarkan lagi tempat duduknya seperti sekarang. Awang Mahyan masih lagi selaku jurulatih dan dibantu oleh Wahet Uji. Walaupun dengan pemain tempatan, namun Sarawak juga mampu ke peringkat suku akhir Piala Malaysia. Pasukan Kuala Lumpur lawan di suku akhir. Perlawanan pertama di Kuching, Sarawak menang dengan 2-1. Namun peristiwa di Stadium Merdeka pada perlawanan kedua, satu lagi peristiwa detik hitam. 

Kisah bermula apabila Ali Shapie mengalami kecederaan dan berlakulah ketidakpuasan terhadap keputusan pengadil, Steven Ovinis yang melayangkan kad merah kepada beliau. Pemain Sarawak mula bertelagah dengan beliau akibat keputusan yang tidak menyenangkan. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila pihak keselamatan FRU turut terlibat dengan memukul pemain Sarawak. FAM memberi kemenangan percuma kepada Kuala Lumpur 3-0. 

Akibat peristiwa tersebut, FAS mengambil keputusan drastik dengan keluar daripada badan induk FAM. Namun atas usaha damai Menteri Sukan ketika itu, Datuk Seri Najib (Perdana Menteri sekarang) dan pihak kerajaan negeri berjaya mengembalikan FAS kepada badan induk tersebut. Musim 1990 pula di bawah jurulatih Wahet Uji juga tanpa pemain import, adalah detik malang bagi Sarawak apabila gagal menyerlah dan seterusnya terperosok ke Divisyen Dua untuk musim berikutnya.

Zaman Ngap Sayot ketika 1988- 1989 adalah zaman pencetus gelombang baru bagi peminat di Sarawak. Masih ingat selepas Sarawak berjaya melayakkan diri ke separuh akhir buat pertama kalinya, jurulatih Awang Mahyan dan diikuti peminat yang lain terjun dari Jambatan Gantung Satok. Semua orang bercakap mengenai Ngap Sayot tanpa mengira usia, bangsa dan latar belakang. Itulah revolusi Ngap Sayot!!!

Saturday, November 2, 2013

Ooo Sarawak, Ibu Pertiwiku...

Bersiap sedia ke Stadium Negeri
Sementara menunggu penerbangan balik ke Kuching, saya sempat lagi nak update blog ini. Memang agak lama dah tak update blog sendiri. Episod yang agak malang bagi pasukan negeri sabtu lepas (26/10), apabila tersingkir di peringkat separuh akhir Piala Malaysia di halaman sendiri. Dan seterusnya menutup tirai kempen musim 2013. Walaupun bermain dengan begitu baik sekali dan mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol. Selaku penyokong setia, semestinya saya berasa kecewa...sedih.

Jika dilihat pencapaian pasukan Sarawak pada tahun ini, muncul Juara Liga Perdana, peringkat suku akhir Piala FA dan separuh akhir Piala Malaysia. Ia adalah pada tahap yang memberangsangkan.

Bagi saya, penyumbang utama pastinya Joseph Kalang Tie. Sekembalinya beliau dari Terengganu terus mengubah corak serangan Sarawak. Kelincahan nya di bahagian sayap kiri dan kanan, di samping boleh juga bermain di bahagian tengah maupun di bahagian striker.

Di kejohanan Liga Perdana, Sarawak muncul Juara dengan rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan. Tempat kedua disandang oleh pasukan Sime Darby. Bagi saya, key point games Sarawak adalah ketika menentang Kedah di tempat lawan. Walaupun ketinggalan 0-1 dengan bermain seramai 10 pemain, Sarawak berjaya mengikat perlawanan 1-1. Key point game yang kedua adalah ketika menentang pencabar Sime Darby di Kuching dengan kemenangan 1-0. Selepas menang perlawanan tersebut, Sarawak terus berada di tangga teratas liga.

Sarawak muncul Juara Liga Perdana selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-0 di Kuching
Sementara dalam kejohanan Piala FA, Sarawak menyingkirkan Melaka dan Pulau Pinang di peringkat pertama dan kedua. Sebelum pertembungan dengan Kelantan di peringkat suku akhir dalam perlawanan timbal balik yang menyaksikan Sarawak tewas dengan agregat 1-4. (1-2 di Kota Bharu, 0-2 di Kuching).

Kejohanan Piala Malaysia pula Sarawak diundi dalam Kumpulan D yang turut disertai oleh Juara Liga Super, Singapore LionsXII, Perak dan Kedah. 

Sesi memanas badan sebelum perlawanan. Sarawak vs Kedah 4-0
Sememangnya, Sarawak memanfaatkan kelebihan bermain di Stadium Negeri apabila menang ketiga-tiga perlawanan. 2-1 LionsXII, 4-0 Kedah dan membelasah 6-1 Perak. Sementara away games, Sarawak hanya mampu mengutip mata di Kedah apabila seri 0-0. 

Perlawanan terakhir Kumpulan D, Sarawak menumpaskan Perak 6-1
Di peringkat suku akhir pula, Sarawak bertembung semula dengan seterunya ketika persaingan di Liga Perdana iaitu Sime Darby. Perlawanan pertama di Stadium Selayang, berkesudahan dengan 0-0. Sementara perlawanan kedua di Stadium Negeri, Sarawak membalas dengan kemenangan 3-1.

Sokongan padu penyokong Sarawak ketika saingan suku akhir
Pasukan Pahang pula menanti di peringkat separuh akhir. Perlawanan pertama di Kuantan, Sarawak tewas 1-3. Dengan ketiadaan Ronny Harun dan Joseph Kalang Tie agak mencacatkan permainan pasukan Sarawak. Guy Bwelle bermain di pertahanan tengah. Kesilapan penjaga gol Sarawak menghadiahkan gol ketiga kepada Pahang. Sementara Shahrol Saperi berjaya meledakkan away goal berharga untuk Sarawak.

Flash lights yang menarik di Stadium Negeri ketika saingan separuh akhir
Perlawanan pada separuh akhir kedua begitu memuncak sejak hari penjualan tiket lagi. Begitu ramai yang berpadat dan berpusu-pusu ke Stadium Negeri semata untuk membeli tiket separuh akhir tersebut. Sehinggakan ada yang pengsan dan bermacam ragam lagi. Ramai juga yang kecewa tidak dapat memperolehi tiket. Sistem penjualan tiket sepatutnya dikaji semula pada masa yang akan datang.

Berbalik kepada persaingan di tengah padang, seperti yang diketahui. Sarawak hanya mampu seri 1-1. Pada separuh masa pertama sahaja Sarawak mensia-siakan hampir 4-5 peluang untuk menjaringkan gol. Selepas Pahang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke 70, permainan semakin hambar ditunjukkan oleh pasukan Sarawak. Dan akhirnya, Sarawak tewas dengan aggregat 2-4.

Pengurusan dan pemain Sarawak memberi penghargaan kepada penyokong Ngap Sayot selepas perlawanan vs Pahang
Ini adalah kali kelima Sarawak gagal di peringkat separuh akhir sejak tahun 1988, 1994, 1995, dan 2000 (maafkan saya, kalau ada kesilapan tahun). Hanya pada tahun 1999 Sarawak berjaya sehingga ke perlawanan akhir namun tewas kepada Brunei 1-2 ketika di bawah kendalian Jalil Ramli.

Pada zaman Awang Mahyan, nama-nama yang tidak dilupakan pastinya Pengiran Bala, Burhaniza Abu Bakar, Roslan Ismail, Ali Shapie, Jalil Ramli sendirinya. Masuk ke era Alan Vest pula semestinya John Hunter, David Evans, Affendi Julaihi, Ong Kim Swee (Jurulatih Harimau Muda), Shamsurin Abdul Rahman, Mazelan Wahid. Sementara pada era Jalil Ramli, pasangan kembar Ramles dan Ramos Sari, Bobby Pian, Ibrahim Mentali, Gilbert Cassidy Gawing.

Terima kasih juga diucapkan kepada penyokong setia Sarawak terutama GB13 yang begitu bersungguh-sungguh menyatupadukan peminat yang lain di samping memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pasukan tidak kira dimana mereka berada. Di harap usaha ini akan berterusan dengan lebih hebat lagi di masa akan datang. 

Antara lagu/chant yang menjadi siulan dan nyanyian peminat setia Sarawak pada masa kini:- 



Ooo Sarawak...

Satukan hatimu

Ooo Sarawak

Kibar benderamu

Kita sokong negeri Sarawak hoiiii
Kini dan Selamanya
Ooo Sarawak
Ibu Pertiwiku

Lalala ooo ooo ooo
Lalala ooo ooo ooo
Ooo ooo ooo


credit: GB13


Akhir sekali untuk pasukan Sarawak, diharap mencapai kejayaan yang lebih cemerlang lagi pada musim depan. Saya pasti lebih kerap lagi ke Stadium Negeri untuk memberi sokongan. Bak kata Robert Alberts, "The Crocs will have enough depth in the squad this time to face next season's challenges in the Super League".......:)