Friday, August 17, 2012

Van Persie ke Manchester United

Sebagai penyokong setia pasukan Manchester United, penghijrahan Van Persie dari Arsenal adalah sesuatu yang amat menggembirakan. Pada pertengahan musim yang lepas, Sir Alex Ferguson telah berjanji untuk membawa seorang bintang ke MU. Akhirnya, tertunai juga. Terima kasih kepada beliau.

Sebenarnya, Sir Alex telah berkerja keras untuk mendapatkan Van Persie sehingga berunding sendiri dengan pengurus Arsenal, Arsene Wenger. Keinginan Van Persie untuk keluar dari Arsenal menyebabkan Wenger tiada pilihan lain untuk menjual bintangnya kepada MU.

Dengan statusnya sebagai Pemain Terbaik EPL dan Pemenang Kasut Emas musim lepas, gandingan nya bersama Wayne Rooney pastinya adalah sesuatu yang dinantikan oleh penyokong MU. Jumlah 72 gol diantara mereka pada musim yang lepas, MU semestinya menjanjikan ledakan gol dari mereka berdua. Hernandez dan Welbeck juga sememangnya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk bermain pada kesebelasan utama. Tapi, semuanya terpulang kepada percaturan strategi Sir Alex sendiri. Beliau mempunyai pilihan rangkaian penyerang terbaik sejak 1999.

Saya masih ingat di ambang beberapa hari sebelum ketibaan Hari Raya pada tahun lepas, MU menewaskan Arsenal dengan rekod 8-2 di Old Trafford. Robin Van Persie terlepas satu sepakan penalti tetapi berjaya juga menjaringkan satu gol untuk Arsenal. Beliau menganggap kekalahan terbesar itu sebagai yang terburuk baginya sebagai seorang pemain. Dan di ambang Hari Raya pada tahun ini, beliau pula akan menyertai MU.

Pada ketika saya menulis blog ini, Van Persie masih lagi menjalani ujian kesihatan di Manchester. Difahamkan pembelian ini adalah terbanyak bagi MU sejak kedatangan Berbatov dengan 30.75 juta Pound dari Tottenham pada 2008. Selamat maju jaya Van Persie. Semoga berjaya di MU.

GLORY, GLORY MU!!


Monday, August 13, 2012

Berakhirnya Sukan Olimpik 2012

Sukan Olimpik 2012 di London pun berakhir awal pagi tadi dengan penutupan yang penuh warna-warni. Pada tahun 2016, buat pertama kalinya sebuah bandaraya di Amerika Selatan dipilih untuk menganjurkannya iaitu Rio De Janeiro. Nampaknya, negara Brazil begitu sibuk dengan penganjuran 2 kejohanan sukan terbesar dalam tempoh 4 tahun lagi termasuk Piala Dunia pada tahun 2014.

Bagaimana dengan pencapaian Malaysia? Pada pendapat saya, pada tahap yang memberangsangkan. Walaupun hanya dengan 1 pingat perak dan 1 gangsa. Iaitu menyamai pencapaian pada tahun 1996 di Atlanta. Yang bezanya, 1 pingat gangsa diperolehi melalui acara di luar badminton iaitu Terjun. Tidak lain semestinya Pandalela Rinong dari Sarawak. Datuk Lee Chong Wei hampir memperolehi pingat emas pertama Malaysia. Tapi apakan daya, tiada nasib apabila tewas dengan musuh ketatnya Lin Dan.

Acara lain iaitu Basikal melalui Azizulhasni Awang tidak kurang hebatnya apabila memasuki acara akhir Keirin. Namun beliau gagal berada di kalangan 3 kelompok teratas. Acara Memanah, Menembak juga telah memberi saingan yang hebat. Diharap penyertaan kali ini dapat memberi manfaat dan pengajaran berguna kepada kontijen Malaysia untuk berusaha lebih gigih lagi di kejohanan-kejohanan sukan yang lain..

Wednesday, August 1, 2012

Batman : The Dark Knight Rises


Selepas hampir 2 minggu ditayangkan di pawagam, akhirnya saya berkesempatan menonton tayangannya malam tadi. Filem arahan Christopher Nolan ini bagi saya begitu memberangsangkan. Filem sekuel ketiga (terakhir) arahan beliau ini mempunyai jalan cerita yang cukup menarik. Saya boleh memberikan 9/10 untuk filem penamat cerita hero ini.

Mungkin anda pernah melihat Batman Begins dan The Dark Knight pada beberapa tahun yang lepas yang juga arahan Nolan. Watak Batman sekali lagi dilakonkan oleh Christian Bale. Pada kali ini, penonton diperkenalkan dengan penjahat yang baru iaitu Bane yang ingin memusnahkan Gotham City. Sementara pelakon jelita, Anne Hathaway juga berjaya memegang watak Catwoman dengan baik.

Bagi yang belum menonton filem ini, jom ke panggung wayang yang berdekatan!!..