Saturday, December 14, 2013

Moyes dan United

Agak lama tidak menulis mengenai pasukan kegemaran saya, Manchester United. Di Facebook, saya banyak berinteraksi secara PM (inbox) bersama rakan penyokong sekelab dan juga kelab yang lain. Musim 2013-14, United bersama pengurus yang baru iaitu David Moyes setelah persaraan Sir Alex Ferguson. Mungkin ramai sudah mengetahui nasib terumbang ambing United pada musim ini terutamanya dalam persaingan EPL. Walaupun begitu dalam kejohanan Liga Juara Eropah dan Piala Capital One, United masih meneruskan persaingan mereka dengan baiknya.

Keputusan semasa dalam persaingan liga agak membimbangkan. Kekalahan berturut 0-1 kepada Everton dan Newcastle di Old Trafford adalah yang tidak dapat diterima sekali oleh peminat setia mereka. Sebelum itu, mereka juga seri 2-2 dengan Cardiff City dan Spurs. Saya melihat keputusan 4 perlawanan tersebut mungkin tidak begitu menjejaskan kedudukan Moyes bersama United kerana beliau masih dalam membina pasukan nya sendiri. Mungkin pihak pengurusan Lembaga Pengarah juga masih memberi peluang kepada beliau.

United sebuah kelab yang mampu bertahan lama dan bersabar dengan pengurus mereka. Jaringan gol kemenangan Mark Robins menentang Nottingham Forest ketika persaingan pusingan ketiga Piala FA pada tahun 1990 menyelamatkan karier 3 tahun Sir Alex Ferguson di Old Trafford. Dan seterusnya memenangi piala tersebut di akhir musim tersebut. Selepas itu, bermula lah detik cemerlang United sehinggalah ke tahun persaraan beliau.

Ketika Moyes bersama Everton dan Sir Fergie masih bersama United
Bersama Everton, Moyes memang melakukan tugasan yang baik tapi tidak pernah memenangi apa-apa kejuaraan. Bagi saya, antara kesilapan beliau ketika menerima tugasan di United adalah membawa sekali staff kejurulatihan dari Everton. Sepatutnya beliau mengekalkan staff kejurulatihan yang lama di United seperti Mike Phelan, Rene Meulensteen dan yang lain memandangkan mereka telah lama mengendali dan pemain-pemain United telah menyesuaikan diri dengan corak latihan dibawah bimbingan mereka.

Berbalik pula kepada pemain, sebahagian besarnya adalah pasukan yang memenangi EPL musim lalu. Mana silapnya? Musim panas yang lepas, Moyes hanya membeli Fellaini dari Everton yang telah terbukti gagal dalam mengemudi bahagian tengah United. Pemain tengah yang kreatif perlu dibeli pada jendela bulan Januari ini. Saya amat menyukai pemain seperti Roy Keane, Paul Scholes ketika masih bermain bersama United. Tanpa Carrick yang dilanda kecederaan, tiada pemain yang lain yang berkebolehan berada di posisi tersebut.

Begitu juga dengan barisan pertahanan. Ferdinand dan Vidic bukanlah pemain yang dapat bermain pada setiap minggu. United juga memerlukan pengganti mereka di masa depan. Di barisan serangan, Rooney dan Van Persie sememangnya masih berada pada tahap yang membanggakan. Welbeck dan Hernandez mungkin agak tenggelam memandangkan tidak selalu diturunkan oleh Moyes.

Apapun untuk musim ini, saya tetap optimis United mampu berada di kelompok Top 4. Tapi untuk mengekalkan kejuaraan EPL, agak sukar (jauh pak awi, kata orang Sarawak). Masih jauh lagi persaingan EPL. Macam-macam boleh berlaku.